Media & Events

TV perlu ambil kira sensitiviti agama – TPM

24 Feb 2007, Utusan Malaysia
MEKAH 24 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa stesen televisyen di negara ini mengambil kira soal sensitiviti kaum dan agama serta mengelakkan sebarang kontroversi apabila menyiarkan sebarang program untuk tatapan masyarakat. Timbalan Perdana Menteri berkata, program-program yang berbentuk sensasi perlu diberi takrifan yang jelas supaya ia tidak menyentuh perkara-perkara yang menimbulkan kontroversi atau sensitif terutama yang menyentuh agama, kaum dan budaya. ‘‘Program sensasi bukannya tidak boleh diadakan sama sekali, cuma kandungannya, gaya dan cara percakapan mereka yang terlibat dalam program itu mestilah mengambil kira keadaan sensitiviti di dalam negara kita, supaya tidak timbul masalah yang tidak diingini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, sempena lawatan kerjanya selama seminggu ke Arab Saudi, bermula semalam. Najib berkata demikian sebagai mengulas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya TV3 menghentikan rancangan Sensasi yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen itu setiap Selasa. Arahan itu dikeluarkan oleh SKMM pada 16 Februari lalu berikutan rancangan yang disiarkan pada 30 Januari lalu tidak mematuhi syarat yang ditetapkan. Rancangan itu menimbulkan kontroversi apabila aktres Rosnah Mat Aris mengeluarkan kenyataan yang menyentuh secara sensitif usia isteri Rasulullah sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak khususnya umat Islam di negara ini. Mengenai lawatannya ke Arab Saudi, Najib berkata, beliau diundang oleh kerajaan Arab Saudi untuk menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Jeddah yang akan berlangsung pada Selasa ini. Katanya, beliau akan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Penswastaan - Pengalaman Malaysia’. Beliau berkata, Malaysia mempunyai pengalaman luas berhubung dasar penswastaan sejak 1980-an dan ia amat berguna serta boleh digunakan oleh negara-negara sahabat termasuk negara-negara Islam di rantau ini. ‘‘Saya akan menghuraikan kesan positif dasar tersebut (penswastaan) terutama dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga akan menggunakan kesempatan semasa forum itu untuk mengadakan pertemuan dengan pedagang dan pelabur dari Arab Saudi dan mempelawa mereka melabur di Malaysia. ‘‘Kini sudah ada minat yang mendalam di kalangan pelabur Asia Barat untuk melabur di Malaysia dan kita berharap pertemuan itu akan dapat meningkatkan kesedaran pelabur di sini untuk membuat pelaburan jangka panjang atau menarik pelabur portfolio terutama dalam pasaran modal kita,” tambah beliau. Sementera itu di Kajang, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua stesen televisyen tempatan supaya menyediakan garis panduan terhadap rancangan bual bicara bagi mengelakkan isu sensitif sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan isu-isu yang dibincang tidak menyentuh sensitiviti agama. ‘‘Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa menekankan soal tersebut bagi memastikan perkara yang dibincangkan itu tidak menyinggung mana-mana pihak,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan 30 pemidato UMNO Bahagian Hulu Langat kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Institut Pengurusan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, di sini, hari ini.
Share this article
Follow