Media & Events

Ubah pendekatan program hiburan

24 Feb 2007, Utusan Malaysia
STESEN televisyen harus mengambil iktibar daripada arahan memberhentikan siaran program Sensasi yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Langkah memberhentikan program itu sebenarnya bukanlah yang terbaik. Bagaimanapun ini memberi isyarat supaya peneraju stesen televisyen memanfaatkan keterbukaan secara wajar. Secara peribadi saya tidak setuju arahan menghentikan program tersebut. Ini kerana yang menimbulkan masalah bukanlah program Sensasi. Masalahnya terletak kepada peneraju sesebuah stesen televisyen dan radio kita. Sebahagian program hiburan di televisyen swasta menghadapi krisis nilai yang tenat. Program mereka lebih mengutamakan sensasi daripada isi. Program Sensasi hanya salah satu daripada beberapa program lain yang seharusnya turut diperhatikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Apakah Sensasi diambil tindakan kerana ia kontroversi? Bagaimana dengan yang lain yang tidak kurang pelanggaran nilai yang seharusnya diterapkan? Kita harus melihat selangkah melampaui isu Sensasi. Maka anggaplah ini sebagai titik mula untuk menghasilkan program hiburan yang menyumbang kepada ketinggian pemikiran. Kita terpaksa mengakui bahawa sebahagian daripada program hiburan kita adalah sangat buruk. Mutu pembikinan barangkali baik tetapi nilai yang dibawa bertentangan dengan cita-cita untuk menjadi warga kelas satu. Dunia hiburan memanglah menggaulkan hal-hal personal dan kerjaya. Kedua-duanya semacam tidak dapat dipisahkan. Tetapi kita masih boleh menghasilkan program yang bernilai tinggi kalau mengimbangi antara nilai komersial dan tanggungjawab sosial. Misalnya, perihal krew televisyen yang menceroboh atau mengganggu privacy orang tertentu juga wajar menjadi perhatian SKMM. Media elektronik dilihat semakin hilang adab dan sopan apabila merakamkan dan mendedahkan hal personal pihak tertentu. Ini adalah antara persepsi umum terhadap televisyen selepas membongkarkan hal personal individu tertentu. Kita tidak boleh menyalahkan khalayak kalau mempunyai persepsi begitu. Ini kerana mereka melihat paparan dengan mata kepala sendiri di kaca televisyen. Paparan yang disiarkan disahkan oleh stesen televisyen bahawa itu bukan lakonan. Satu lagi SKMM mesti proaktif dan tidak boleh menunggu yang kontroversi untuk diambil tindakan. Suruhanjaya ini masih tidak berbuat apa-apa apabila ada stesen radio yang menyiarkan interviu wanita Islam yang dengan bangga mengaku mempunyai hubungan terlarang tanpa pengetahuan suami. Ini menyinggung wanita Islam secara umumnya. Adakah ini belum melanggar syarat yang ditetapkan?
Share this article
Follow