Media & Events

Usaha membasmi ‘blind spot’ dalam kepesatan komunikasi

17 May 2004, Berita Harian
SEPERTI sedia maklum, telekomunikasi adalah industri yang pesat membangun di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada arus itu. Senario ini diperhebatkan lagi dengan kepesatan perkembangan teknologi canggih sehingga kini manusia berkomunikasi dan berinteraksi secara lebih pantas serta cepat sehingga berupaya melampaui batasan masa dan tempat. Sempena Hari Telekomunikasi Sedunia hari ini, wartawan Berita Harian, KHAIRUL ANUAR ABDUL SAMAD, mengimbau pencapaian dicatat negara setakat ini. KEHADIRAN teknologi maklumat (IT) dan multimedia membawa kepada kewujudan satu persekitaran serta rahmat baru yang menjanjikan sistem komunikasi menjadi paling hebat dengan membentuk konsep gaya hidup lebih berkualiti serta canggih. Kepesatan perkembangan telekomunikasi kini agak hebat khususnya bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia kerana jika dilihat pada awal perkembangan telekomunikasi negara dengan menyaksikan sistem rangkaian telegraf pertama yang menjadi sistem telekomunikasi utama diperkenalkan pada 1886 dan hanya menyediakan perkhidmatan antara Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura. Lima tahun kemudian iaitu lewat 1891, perkhidmatan telefon diperkenalkan dan menjelang 1895 ada 21 telefon di Kuala Lumpur yang disokong oleh kira-kira 400 batu talian telefon dan telegraf. Bagaimanapun, prasarana telekomunikasi musnah pada perang dunia kedua dan dibangunkan semula pada 1950-an. Apabila Malaya menjadi negara merdeka pada 1957, pembangunan telekomunikasi menjadi agenda yang selari dengan usaha pembangunan negara sebagaimana yang berlaku kini dengan menyaksikan Malaysia muncul di antara negara utama rantau ini yang menikmati perkembangan pesat industri telekomunikasi. Pada asasnya, negara sudah banyak melakukan perubahan dan reformasi dalam sektor telekomunikasi sejak 1987 dengan menyaksikan pembabitan sektor swasta terhadap pembentukan dan pembangunan prasarana telekomunikasi negara. Akibatnya, kadar talian tetap meningkat daripada 7.4 talian untuk 100 penduduk pada 1987 kepada 22 talian menjelang 1992. Jumlah ini adalah paling tinggi untuk kadar penembusan perkhidmatan dibandingkan dengan negara Asean lain. Malahan Malaysia juga muncul sebagai negara paling tinggi kadar penembusan telefon bimbit di Asia dengan 10.3 bagi 100 penduduk. Kepesatan sektor telekomunikasi juga menyaksikan negara mencatat pertumbuhan pengguna sistem telekomunikasi mudah alih tertinggi di rantau Asia Tenggara pada kadar 45 peratus kepada 11 juta orang pada 2003, diikuti Thailand dengan kenaikan 36 peratus, Filipina 26 peratus dan Indonesia tujuh peratus. Kini kepesatan industri komunikasi negara berjaya meletakkannya sebagai antara penyumbang utama perolehan negara dengan mewakili kira-kira 43 peratus peningkatan dalam perolehan kasar sepanjang tiga tahun lalu hasil usaha gigih kerajaan memajukan industri itu. Data menunjukkan sepanjang tiga tahun, industri itu berjaya meningkatkan sumbangannya terhadap pertumbuhan pendapatan ekonomi negara daripada RM11.7 bilion (1999) ke RM16.7 bilion (2001). Sepanjang tiga tahun itu juga (1999 hingga 2001), pelanggan telefon bimbit meningkat sebanyak 175 peratus mengatasi pertumbuhan penggunaan talian tetap yang hanya mencatat pertumbuhan sebanyak 1.2 peratus (1999). Kemantapan industri telekomunikasi negara terus dapat dikecapi dengan pengumuman wawasan strategik dalam segmen itu yang antaranya ialah melalui pengenalan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA). Melalui CMA, satu rangka kerja yang mampu meningkatkan potensi penggabungan dua teknologi itu (multimedia dan IT) diwujudkan dan sekali gus menjadi pemacu pertumbuhan industri komunikasi dan multimedia negara selain meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama terbabit dalam penggabungan itu walaupun ketika itu masih dalam krisis ekonomi Asia (1997 hingga 1998). Pada asasnya, kerajaan begitu prihatin terhadap perlunya semua rakyat menikmati kemudahan komunikasi tanpa mengira kedudukan lokasi atau taraf sosioekonomi mereka. Ini penting untuk memenuhi dasar kerajaan ke arah mewujudkan masyarakat bermaklumat selaras dengan konsep ekonomi berpengetahuan atau k-ekonomi. Malahan lagi penyediaan kemudahan ini menjadi antara satu daripada 10 dasar kerajaan dalam industri komunikasi dan multimedia, iaitu menggalakkan masyarakat berpengetahuan melalui perkhidmatan berasaskan maklumat seperti telekomunikasi menjadi asas peningkatan berterusan kepada mutu kerja dan kehidupan. Pertumbuhan industri komunikasi negara didokongi oleh permintaan terhadap perkhidmatan baru yang sentiasa muncul akibat berlakunya penggabungan IT dalam bidang transmisi dan suis seperti ATM, ISDN dan SDH yang membentuk banyak perkhidmatan baru seperti VOD, persidangan video dan banyak lagi aplikasi multimedia lain pada web seperti grafik, animasi dan audio selain realiti maya serta sebagainya. Kemunculan teknologi ini meletakkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam menyediakan kemudahan telekomunikasi dan ini terbukti apabila negara mencipta sejarah dalam teknologi komunikasi rantau Asia melalui inisiatif bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat panggilan data dan suara antarabangsa pertama melalui dua sistem mobile 3G iaitu EDGE ke WCDMA. Panggilan itu dilakukan menggunakan sistem teknologi EDGE terletak di Ericsson@-MSC, Cyberjaya, yang menghubungkan panggilan Dr Mahathir dengan tiga rakyat Malaysia yang bekerja di Ericsson, Sweden. Komunikasi itu dilakukan sempena majlis pelancaran Ericsson@MSC, di Cyberjaya, tahun lalu. Keceriaan sektor telekomunikasi negara turut dimeriahkan dengan penggabungan antara Celcom dengan TMTouch yang dilihat berupaya mewujudkan satu kuasa yang kuat bukan saja dalam pengenalan pelbagai produk berasaskan telekomunikasi tetapi turut membabitkan liputan sistem rangkaian telekomunikasi terbesar di negara. Walaupun kewujudan banyak teknologi komunikasi termaju masa kini seperti generasi ketiga (3G) yang melambangkan Malaysia mampu diletakkan setaraf dengan dunia, situasi sebenarnya masih terdapat banyak ‘lopongan’ dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi, khususnya kepada masyarakat pengguna luar bandar. Lopongan atau ‘blind spot’ ini kini sedang ditangani dengan wajarnya sejajar dalam usaha memenuhi wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ingin menjadikan agenda telekomunikasi sebagai pembangun negara. Berasas kepada senario ini, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk V Danapalan menegaskan organisasi itu sedang berusaha mengatasi lopongan itu dan SKMM mengenal pasti program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) sebagai usaha ke arah itu. “Perdana Menteri menegaskan semua masyarakat harus menikmati perkhidmatan asas telekomunikasi dan ia harus mampu dimiliki selain perkhidmatan yang disediakan bermutu tinggi dan SKMM bersandarkan kepada USP sebagai platform bagi memastikan semua peringkat masyarakat dapat menikmati kemudahan telekomunikasi,” katanya. Melalui program USP, ia diharap berupaya menyediakan kemudahan akses kepada individu atau berkumpulan terhadap perkhidmatan Internet dan telefon dengan membabitkan kawasan kadar penembusan telekomunikasi yang rendah. Walaupun program ini ada di seluruh dunia, setiap negara mempunyai pendekatannya sendiri dan pendekatan Malaysia sudah menunjukkan kejayaan apabila projek perintis USP dilaksanakan tahun lalu yang membabitkan tiga kawasan, iaitu Yan (Kedah), Julau (Sarawak) dan Kinabatangan (Sabah) berjaya mencapai kejayaan. Dalam projek di Yan, Kedah yang membabitkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Mobile Sdn Bhd (Maxis), dikatakan antara yang berjaya, menyaksikan 600 talian komunikasi tetap GSM berjaya disediakan (September). Dan menjelang Januari tahun ini akan ada penambahan 550 talian. Berdasarkan kemajuan itu, program USP bagi tahun ini akan membabitkan 89 kawasan yang dikenal pasti berada pada bawah paras kadar penembusan negara iaitu 20 peratus, sedangkan kadar ditetapkan kerajaan ialah 22 peratus bagi 100 penduduk. Keseluruhan projek dijangka membabitkan kos kira-kira RM464 juta tahun ini. Lapan puluh sembilan kawasan itu ialah Sarawak (26), Sabah (22), Kelantan (sembilan), Pahang (lapan), Terengganu dan Kedah (enam), Selangor (empat), Johor (tiga), Melaka dan Perak (dua) dan Negeri Sembilan (satu). SKMM menjelaskan, pelaksanaan projek USP ini penting kerana kalau tidak dilakukan sesuatu projek telekomunikasi terhadap kawasan berkenaan, ia akan memakan masa yang lama untuk memastikan kawasan di bawah kadar penembusan itu mampu menikmati kemudahan telekomunikasi pada masa depan. Melalui projek ini, SKMM bermatlamat untuk memastikan setiap daripada kawasan terbabit disediakan dengan kemudahan telefon berbayar bagi memudahkan akses kepada masyarakat dan sekurang-kurangnya 500 talian tetap kepada setiap individu. Pelaksanaan projek USP itu membabitkan dua fasa dengan sembilan kawasan dikenal pasti untuk fasa pertama dengan tiga kawasan masing-masing di Sarawak (Kanowit, Samarahan dan Sri Aman); Sabah (Tongod, Beluran dan Kunak) dan Semenanjung Malaysia (Lipis, Pahang; Jeli, Kelantan dan Besut, Terengganu). Bagi kawasan terbabit dalam projek itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan Digi akan menyediakan kemudahan telekomunikasi berasaskan talian berwayar sama ada talian tembaga atau gentian atau menyediakan kemudahan wayarles seperti CDMA, GSM, akses jalur lebar wayarles atau loop tempatan wayarles. Kejayaan projek ini bukan saja terletak di tangan SKMM, malah membabitkan komitmen syarikat telekomunikasi terbabit yang seharusnya memberikan perhatian sepenuhnya selain menjadikan USP sebagai platform dalam menerokai teknologi baru ke arah memastikan tahap perkhidmatan terbaik mampu disediakan. Pelaksanaan USP ini harus dianggap sebagai satu platform paling berjaya dalam menyediakan kemudahan telekomunikasi kepada masyarakat khususnya di luar bandar di samping pelaksanaan beberapa projek telekomunikasi lain. Apa yang pasti, USP berupaya menggalakkan pemasangan lebih banyak talian dan aplikasi telekomunikasi di kawasan luar bandar dalam usaha memastikan masyarakat di negara ini dapat turut serta dalam pembangunan negara menggunakan teknologi telekomunikasi berkenaan. Sejajar dengan perkembangan pesat dunia telekomunikasi, inisiatif dalam melaksanakan USP dilihat sebagai serampang dua mata dua pihak, iaitu kerajaan dan swasta, selain bertindak menampung ia juga akan mempercepatkan pembangunan prasarana komunikasi asas ke luar bandar. Sekiranya masyarakat di Bario, Sarawak kini sudah mampu menikmati kemudahan telefon walaupun terpaksa berbaris untuk menggunakannya, projek USP ini harus menjadi loncatan besar ke arah memastikan masyarakat negara ini dapat menikmati kemudahan telekomunikasi dengan sebaik mungkin. Pemain telekomunikasi harus bangkit. Apalah gunanya sekiranya negara kini begitu berbangga dengan kemudahan perkhidmatan telekomunikasi canggih seperti 3G, SMS, MMS, Wi-Fi dan pelbagai perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar lain, sedangkan sebahagian besar masyarakat masih gagal untuk menikmati kemudahan telekomunikasi. Sekiranya Perdana Menteri memberi penekanan berat terhadap usaha menyediakan kemudahan telekomunikasi kepada masyarakat, adalah mengaibkan seandainya pihak terbabit dalam sektor itu, sama ada di pihak kerajaan atau swasta, gagal untuk melaksanakannya. Malaysia mempunyai projek mega, Koridor Raya Multimedia (MSC) yang kini terkenal di seluruh dunia dengan prasarana telekomunikasi canggih dan terbaik, namun agak memalukan sekiranya masyarakatnya di luar bandar masih ketinggalan dalam menikmati kemudahan telekomunikasi. Dalam menyediakan kemudahan telekomunikasi, kita jangan jadi seperti “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Tanpa mengira kedudukan geografi, masyarakat negara ini harus menikmati kemudahan telekomunikasi sama penyediaan melalui berwayar atau tanpa wayar.
Share this article
Follow