Media & Events

Wanita lebih gemar guna platform e-dagang berbanding lelaki

03 Jun 2019, Utusan Malaysia

image.jpg

PUTRAJAYA - Sebanyak 51.2 peratus penduduk di negara ini menggunakan platform e-dagang untuk membeli-belah dan menjual secara dalam talian sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu.

Statistik itu didedahkan oleh Kajian Pengguna e-Dagang 2018 (ECS 2018) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.

Dalam satu kenyataan, SKMM memaklumkan, secara keseluruhannya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengguna e-dagang tertinggi di dalam negara iaitu sebanyak 70.5 peratus diikuti Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis masing-masing sebanyak 60.5 peratus dan 44.5 peratus.

Dapatan kajian itu tambahnya, menunjukkan bahawa golongan wanita lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti e-dagang iaitu 53.9 peratus berbanding Ielaki (48.8 peratus), dengan pakaian dan aksesori adalah produk yang paling popular dibeli golongan tersebut.

“Walaupun peratusan pengguna e-dagang dalam kalangan lelaki lebih sedikit berbanding wanita, namun purata perbelanjaan untuk aktiviti e-dagang mereka sepanjang tempoh 12 bulan lepas lebih tinggi iaitu sebanyak RM690, berbanding RM450 bagi wanita.

“lni adalah disebabkan golongan Ielaki lebih banyak membeli barangan seperti perisian dan peralatan komputer serta perkakasan automotif,” katanya di sini hari ini.

Ketika ditanya sebab e-dagang dipilih untuk tujuan membeli-belah, kenyataan itu memberitahu, 84.4 peratus pengguna menyatakan bahawa kemudahan dan keselesaan mengakses pelbagai jenis platform e-dagang mengikut kesesuaian masa dan tempat sebagai faktor yang mendorong mereka menyukai pembelian secara dalam talian.

Menurut kenyataan itu lagi, faktor harga yang kompetitif juga merupakan daya tarikan utama kepada 73 peratus pengguna e-dagang.

Keadaan ini didorong pelbagai strategi yang digunakan oleh peruncit dalam talian bagi menarik minat pengguna seperti baucar diskaun, jualan perayaan, rebat tunai, pelbagai ganjaran menarlk dan sebagainya.

“Selain itu, kemudahan pembayaran yang pelbagai seperti perbankan dalam talian turut menjadi antara faktor utama pengguna membeli-belah melalui pelbagai platform e-dagang,” katanya.

Share this article
Follow