Media & Events

60 Peluang Perniagaan Baharu Dijana Pada KOIL 2017

24 Apr 2018
KEMAMAN, 24 April 2018 --- Sebanyak 60 peluang perniagaan baharu berjaya dijana pada program Kemaman Open Innovation Challenge atau KOIL 2017 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlangsung, baru-baru ini.  

Dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman (PDTK) dan rakan-rakan strategik termasuk Telekom Malaysia Berhad (TM), kejayaan yang dicapai itu adalah hasil penganjuran tiga siri latihan berasingan yang diberi nama Camboh, Abihreng dan Kemah.   

Di bawah program Camboh umpamanya, ia bertindak sebagai pemangkin inovasi kepada golongan usahawan desa dalam meluaskan pasaran selain meningkatkan automasi perniagaan dalam talian mereka. Sementara Abihreng pula merupakan program penjanaan idea model perniagaan baharu menerusi pewujudan syarikat pemula atau start-up company. Program Kemah pula berperanan mewujudkan dan menyatupadukan usahawan dan inovator dalam meningkatkan sosioekonomi setempat.  

Berkonsepkan kepada pembangunan usahawan dan Pre-Accelerator, KOIL 2017 yang julung kalinya diadakan itu bermatlamat untuk memperkasakan pertumbuhan sosioekonomi Komuniti Pintar Kemaman dengan penjanaan ideaidea produk perniagaan usahawan tempatan menerusi penggunaan ICT. Ia juga merupakan program Flagship Pembangunan Keusahawan yang selari dengan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).  
Di bawah program ini, para usahawan tempatan diberi pendedahan mengenai teknologi inovatif bagi membangun dan mengembangkan perniagaan usahawan desa seperti pengurusan perniagaan, pemasaran dalam talian, pembangunan penjenamaan dan automasi perniagaan.  

Pada program tersebut juga, sejumlah sembilan (9) idea perniagaan yang terpilih daripada tiga siri latihan berkenaan, telah dianugerahi hadiah keseluruhan bernilai RM15,000. Daripada jumlah tersebut, lima (5) idea perniagaan berkenaan kemudiannya telah disenarai pendek untuk peringkat berikutnya.  
Lima idea perniagaan tersebut adalah Pau Rosalinda (makanan), Ootozz Shopper’s Minion (aplikasi mudah alih), Craft DIY (kraftangan), Humayraa (penternakan kelulut dan penghasilan produk penjagaan kecantikan) dan PEMBEKU (pemusatan usahawan IKS makanan dan minuman sejuk beku).  

Kesemua lima idea perniagaan dibentangkan di hadapan sekumpulan panel penilai sebelum keputusan akhir dibuat dan hanya tiga (3) idea perniagaan yang terbaik sahaja akan berpeluang untuk merebut KOIL Pre-Seed Funding keseluruhan bernilai RM75 ribu yang diberikan oleh pihak Suruhanjaya. Pengumuman para pemenang akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini.  

Pihak MCMC yakin program KOIL ini bukan sahaja mampu melonjakkan status sosioekonomi usahawan tempatan melalui platform digital yang disediakan malahan juga melahirkan lebih ramai usahawan yang kompetitif serta mampu bersaing di pasaran antarabangsa.    

TAMAT//   
Share this article
Follow