Media & Events

Jangan Sebar Berita Palsu

15 Mar 2019
JANGAN SEBAR BERITA PALSU
TINDAKAN TEGAS AKAN DIAMBIL OLEH MCMC KE ATAS MANA-MANA INDIVIDU YANG DIDAPATI MENYEBARKAN BERITA PALSU DI BAWAH SEKSYEN 233 AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita-berita palsu khususnya berkenaan dengan kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang baru-baru ini.
 
Langkah ini adalah untuk mencegah seluruh rakyat Malaysia serta penduduk setempat daripada mendapat maklumat yang salah yang boleh menjurus kepada keadaan panik.
 
Perbuatan oleh segelintir pengguna media sosial yang menyebarkan khabar angin kononnya hospital tidak menerima lagi kemasukan pesakit baharu yang terkesan akibat pencemaran berkenaan dan terdapat mangsa yang sudah meninggal dunia akibat pencemaran sisa kimia itu merupakan satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab. Tindakan berkenaan bukan sahaja boleh menjejaskan ketenteraman awam bahkan juga memberi kesan negatif kepada mangsa, keluarga dan masyarakat setempat.
 
Ketika ini, pihak MCMC sedang bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejaki individu-individu yang terlibat dan tindakan sewajarnya akan dikenakan mengikut lunas perundangan sedia ada.
 
Sebarang perkongsian berita yang bersifat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
 
TAMAT
Share this article
Follow