Media & Events

Kadar Kelajuan Jalur Lebar: Langkah-Langkah Tegas Diambil Membuahkan Hasil

17 Nov 2018
Langkah-langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan, akhirnya telah membuahkan hasil apabila kadar kelajuan jalur lebar negara mencatatkan peningkatan yang ketara.

Menurut satu kaji selidik kadar kelajuan jalur lebar yang dilakukan oleh The Speedtest Global Index (SGI), Malaysia naik 10 anak tangga bulan lalu dan menjadi negara yang ke-26 terpantas di dunia dengan purata kelajuan tetap 61.97Mbps. Ini bermakna, kebanyakan rakyat Malaysia kini menikmati kadar kelajuan yang lebih signifikan. Malahan, Kerajaan telah pun menunaikan janji mereka untuk mengurangkan harga jalur lebar berkelajuan tinggi talian tetap sebanyak 25% menjelang akhir 2018 (harga pakej permulaan telah pun dikurangkan lebih daripada 30%).

“Biarpun ini merupakan berita yang positif, namun ia hanyalah permulaan dan masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan,” kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak. “Inilah hasil usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia yang menjadikan isu ini sebagai keutamaan beliau,” ujarnya lagi.

Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengisytiharkan pada permulaan penggal perkhidmatannya bahawa beliau mahu syarikat-syarikat telco tempatan untuk meningkatkan kadar kelajuan jalur lebar mereka dan pada masa sama, mengurangkan harga.

Al-Ishsal turut memaklumkan, MCMC akan terus memantau dengan tegas pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telco bagi memastikan para pengguna akan menikmati kualiti perkhidmatan yang baik, kelajuan yang tinggi dan pada harga yang berpatutan untuk jangka panjang.
Share this article
Follow