Media & Events

Kenyataan Media Daripada Pengerusi MCMC Berhubung Siasatan Kes-Kes Melibatkan Penghinaan Agama Dan

06 Aug 2014
Kenyataan Media Daripada Pengerusi MCMC Berhubung Siasatan Kes-Kes Melibatkan Penghinaan Agama Dan Kaum

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyangkal tohmahan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara selektif dalam kes-kes membabitkan penghinaan agama dan kaum di media sosial. Masyarakat perlu faham bahawa media sosial itu hanyalah satu medium perhubungan. Apa yang sepatutnya diberikan fokus ialah kesalahan hakiki yang berlaku iaitu perbuatan menghina agama dan menghasut yang cenderung kepada menimbulkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia, yang menjadi kesalahan di bawah Akta Hasutan atau Akta-akta lain. 

MCMC sentiasa mengikut lunas undang-undang dalam menjalankan siasatan dan juga mengamalkan standard profesionalisme untuk memastikan pengumpulan bukti yang cukup serta sekiranya boleh, menentu sahkan identiti mereka yang tidak bertanggungjawab ini. 

Adakalanya terdapat kesukaran untuk mendapatkan kesahihan bahawa mereka yang dikatakan telah melakukan kesalahan itu adalah sebenar-benarnya orang yang sememangnya melakukan kesalahan dan bukanlah orang yang tersilap identitinya atau lebih teruk lagi sekiranya identiti mereka telah disalahgunakan. Dalam sesetengah keadaan, usaha ini boleh dilakukan dengan agak pantas dan dalam keadaan lain, ianya memakan masa terutamanya apabila mereka ini menggunakan akaun palsu.

Sehubungan itu, MCMC sentiasa komited untuk membantu dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis agar kes-kes seperti ini dapat ditangani dengan baik selain memastikan sebaik boleh bahawa mereka yang benar-benar bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. 

Oleh itu, MCMC meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membuat pelbagai tohmahan. Perlu diingatkan juga supaya masyarakat umum tidak menyebar maklumat yang belum ditentukan kesahihannya kerana perbuatan menyebarkan maklumat yang tidak sahih boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian negara.

DATO' MOHAMED SHARIL TARMIZI
PENGERUSI 
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (MCMC)
Share this article
Follow