Media & Events

Komuniti Pintar Lundu Dilancarkan, Tingkat Taraf Hidup Dan Sosioekonomi Lundu

27 Feb 2016
LUNDU, 27 FEBRUARI 2016 --- Masyarakat setempat di daerah Lundu kini berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik berikutan usaha-usaha penambahbaikan dan pembangunan yang bakal dilaksanakan di bawah inisiatif Komuniti Pintar Lundu.

Inisiatif Komuniti Pintar Lundu yang dilancarkan hari ini akan memberikan peluang kepada komuniti di Lundu untuk memanfaatkan penambahbaikan dan pembangunan yang dijalankan dalam aspek perkhidmatan telekomunikasi, penggunaan aplikasi dan kandungan, peluasan perkhidmatan pos dan capaian terhadap penggunaan jalur lebar.

Inisiatif tersebut yang diperkenalkan pada awal tahun 2015 di Kemaman, akan menjadi penanda aras kepada daerah-daerah lain di negeri Sarawak khasnya dalam aspek pembangunan yang berpandukan kepada konsep 1 Daerah, 1 Negeri.

Di bawah inisiatif ini, ia bertujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi Lundu melalui platform teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan capaian kepada informasi yang lebih cepat dan berkesan.

Majlis Pelancaran Komuniti Pintar Lundu disempurnakan oleh Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Haji Len Talif Salleh yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Adenan Satem sambil disaksikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dan masyarakat Lundu.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan ialah Program Sukarelawan ICT Malaysia atau MIV di bawah seliaan MCMC dan khidmat Ejen Pos Berdaftar di Pusat Internet 1Malaysia.

Di bawah Program MIV itu, ia akan memperkasakan rakyat Malaysia menjadi warga digital yang akan memainkan peranan dalam menggerakkan negara ke arah sebuah negara pintar. Program perintis ini menyasarkan seramai 50 orang sukarelawan yang mana 5 orang sukarelawan akan ditempatkan dalam setiap kumpulan di 10 buah Pusat Internet. Sebagai permulaan, program MIV akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam komuniti-komuniti di sekeliling Pusat Internet yang terpilih di seluruh negara.

Dalam pada itu, khidmat Ejen Pos Berdaftar di Pusat Internet 1Malaysia yang dilancarkan di Lundu hari ini dijangka memberi manfaat kepada penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak, khasnya dalam mendapat akses kepada perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi dan lain-lain kemudahan yang berkaitan dengan ICT. Selain itu, ia juga menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat setempat dan pemilik-pemilik perniagaan tempatan dengan perkhidmatan serta produk-produk Pos Malaysia. Ia juga bertindak sebagai pusat utama untuk perkhidmatan penghantaran dalam kawasan di sekitar selatan Sarawak.

Lundu menjadi daerah kedua di negara ini yang dipilih sebagai pusat pelaksanaan inisiatif komuniti pintar selepas Kemaman pada awal Mac 2015.


MENTERI Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Haji Len Talif Salleh (baju biru) merasmikan Inisiatif Komuniti Pintar Lundu di Lundu sambil diperhatikan oleh Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie (dua dari kiri), Pegawai Daerah Lundu dan masyarakat Lundu.
Share this article
Follow