Pusat Media

Malaysia Antara Peneraju Utama Di Asia Mempamerkan 5G

01 Apr 2019
  • 5G bukan sekadar kelajuan data yang lebih tinggi dan keupayaan jaringan yang lebih meluas, ia turut menghubungkan berjuta-juta peranti, membina perkhidmatan baharu, dan menyokong penggunaan aplikasi secara lebih meluas yang dapat memberi kesan positif kepada operasi perniagaan dan Kerajaan, serta aktiviti pengguna dari hari ke hari.
  • Pameran 5G ini akan merangkumi kegunaan praktikal dalam penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pengilangan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan. 
 
CYBERJAYA, 1 April 2019 --- Dua puluh tahun sejak Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dikuatkuasakan, Malaysia kini bersedia mempamerkan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) yang dijangka akan mengubah pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Pameran 5G yang akan diadakan pada 18 April 2019 di Putrajaya bakal memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat Malaysia untuk melihat dan mengalami secara langsung manfaat teknologi tersebut dan kesan positif terhadap kehidupan mereka.  
 
AKM 1998 bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan komunikasi serta perkhidmatan maklumat dan kandungan multimedia. Sepanjang tempoh tersebut, industri ini pesat berkembang dengan peningkatan pendapatan hampir 2.8 kali ganda daripada RM16 bilion pada tahun 2000 kepada RM44 bilion pada tahun 2018. Kini, industri tersebut bernilai RM135.7 billion di bursa saham tempatan berbanding RM50.7 billion pada tahun 1999. 

Bagi menyambut ulang tahun ke-20 AKM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini juga mengumumkan Pameran 5G akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pameran yang terbuka kepada orang awam pada 20 dan 21 April 2019 akan menampilkan 8 komponen yang memanfaatkan teknologi 5G, termasuklah penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pengilangan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan. Pihak yang mengambil bahagian termasuklah syarikat-syarikat telekomunikasi utama dan institusi pengajian tinggi di Malaysia seperti Celcom, Digi, Ericsson, Huawei, Institut IoT Robotik Automotif Malaysia (MARii), Maxis, Nokia, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ZTE. 

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata, “Kami sangat berbesar hati diberi peluang untuk meneraju pengenalan 5G di negara ini. 5G bukan sekadar kelajuan data yang lebih tinggi dan keupayaan jaringan yang lebih meluas, malah ia turut menghubungkan berjuta-juta peranti, membina perkhidmatan baharu, dan menyokong penggunaan aplikasi secara lebih meluas yang dapat memberi kesan positif kepada operasi perniagaan dan Kerajaan, serta aktiviti pengguna dari hari ke hari.” 

“Walaupun 5G masih belum boleh didapati secara komersial untuk tempoh beberapa tahun akan datang, namun pameran ini bertujuan untuk memberikan satu gambaran mengenai apakah yang bakal menanti pada masa hadapan dan penerimaan rakyat. Sukacita dimaklumkan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara di Asia yang menerajui teknologi mudah alih generasi kelima ini. Ini juga selari dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) kerajaan untuk menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik,” tambah Al-Ishsal lagi.  
 
Antara aplikasi-aplikasi dalam kehidupan nyata yang bakal dipamerkan termasuk konsultasi dan diagnosis penjagaan kesihatan dari jauh, proses pembelajaran menggunakan simulasi (immersive education), e-sukan masa nyata dengan kepelbagaian paparan 4K, holoportation, kereta pandu sendiri, dron untuk pelbagai tujuan pemetaan dan pemantauan digital, robot, pembuatan pintar, pertanian jitu, kelas realiti maya dan kampus-kampus internet-of-things (IoT) pintar. 
 
Pada November 2018, MCMC telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas 5G kebangsaan pada November 2018 untuk mengkaji dan membuat syor-syor strategi yang holistik untuk pelaksanaan 5G secara menyeluruh di Malaysia. Pasukan Petugas 5G itu dibahagikan kepada empat kumpulan kerja dengan tumpuan kepada Kes Bisnes, Infrastruktur, Pengagihan dan Pengurusan Spektrum; dan Kawal Selia. Ujian percubaan 5G telah diwujudkan di Cyberjaya dan Putrajaya untuk meneroka penggunaan, teknologi dan pelaksanaan praktikal 5G. 
 
PDF
Kongsi artikel ini
Follow