Media & Events

MCMC: 94 Kompaun Bernilai RM3.45 Juta Dikeluarkan Untuk Pelbagai Kesalahan

09 Dec 2016
CYBERJAYA, 9 Disember 2016 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sehingga kini telah mengeluarkan sebanyak 94 kompaun bernilai RM3.45 juta kepada pemegang-pemegang lesen dan individu persendirian atas pelbagai kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) selain salah guna media sosial dan kegagalan mematuhi Standard Mandatori.
 
Daripada jumlah tersebut, 40 kompaun bernilai RM1.66 juta dikeluarkan pada bulan November 2016 manakala, 54 kompaun yang bernilai RM1.79 juta telah dikeluarkan antara bulan Mac hingga September 2016 lepas.  
 
Nilai kompaun yang dikeluarkan pada bulan November 2016 yang lalu adalah lebih tinggi berbanding tempoh keseluruhan antara Mac hingga September memandangkan tawaran mengkompaun melibatkan pelbagai kesalahan dan sebahagian besarnya adalah untuk kegagalan berulang membuat pengesahan ke atas dokumen asal bagi pendaftaran kad sim prabayar, yang mana kompaun yang dikenakan adalah pada kadar maksimum iaitu RM50,000 bagi setiap kesalahan.  
 
Sejumlah 32 kompaun bernilai RM1.57 juta telah dikeluarkan sepanjang November 2016 yang lalu kepada tujuh syarikat telekomunikasi iaitu Maxis Mobile Services Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Tune Talk Sdn Bhd, Celcom Mobile Sdn Bhd, XOX Com Sdn Bhd dan Altel Communications Sdn Bhd.  Ketujuh-tujuh syarikat telekomunikasi berkenaan dikenakan kompaun ekoran kegagalan mereka membuat pengesahan ke atas dokumen asal bagi tujuan pendaftaran kad sim prabayar sebagaimana yang diperuntukkan dalam Guidelines On Registration of End-Users of Prepaid Public Cellular.’  

Dalam pada itu, tiga kompaun berjumlah RM60,000 turut dikeluarkan pada tempoh yang sama kepada pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan kerana 
 
kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen pengawalseliaan sosial yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 206(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Syarikat-syarikat yang dimaksudkan itu ialah NatSeven TV Sdn Bhd dengan nilai kompaun berjumlah RM10,000; One FM Radio Sdn Bhd dengan nilai kompaun berjumlah RM30,000 dan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd sebanyak RM20,000.  
 
Selain itu, satu kompaun berjumlah RM20,000 juga dikeluarkan kepada Red One Network Sdn Bhd kerana kegagalan mematuhi Standard Mandatori bagi kualiti perkhidmatan yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 105(3) AKM 1998 dan satu kompaun berjumlah RM5,000 dikeluarkan kepada U Mobile Sdn Bhd atas kesalahan di bawah seksyen 188(2) AKM 1998.   Sementara itu, tiga kompaun berjumlah RM10,000 turut dikeluarkan terhadap tiga individu yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 233(1)(a) AKM 1998 kerana menghantar kandungan yang bersifat lucah dan jelik sifatnya melalui perkhidmatan aplikasi WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Twitter.

-TAMAT- 
Share this article
Follow