Media & Events

MCMC Akan Terus Pantau Penularan Video Insiden Tembakan Christchurch

20 Mar 2019
MCMC AKAN TERUS PANTAU PENULARAN VIDEO INSIDEN TEMBAKAN CHRISTCHURCH
 
Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau penularan video insiden tembakan yang berlaku di dua masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, di Internet dan media sosial.
 
Sejurus selepas dimaklumkan pada awal petang 15 Mac 2019, pihak MCMC telah menghubungi pengendali-pengendali platform media sosial untuk memadamkan video versi penuh dan versi yang telah diedit yang telah dimuat naik di dalam platform mereka.
 
Selain mengeluarkan kenyataan menasihatkan orang awam agar tidak berkongsi video berkenaan, peringatan turut dikeluarkan oleh MCMC kepada semua stesen-stesen televisyen.
 
Hasil pemantauan yang dijalankan sehingga kini mendapati, semua video versi penuh mahupun yang telah diedit sudahpun dipadamkan termasuklah video yang berada di dalam platform-platform media sosial.
Orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka kongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi Whatsapp ataupun rakaman video di media sosial.
 
Pengguna media sosial juga digesa untuk melaporkan secara terus kandungan yang tidak sesuai kepada platform yang berkenaan, supaya akaun-akaun yang melanggar terma-terma perkhidmatan boleh ditutup.

Tindakan susulan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang didapati melanggarnya. Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
 
TAMAT
 
PDF
 
Share this article
Follow