Pusat Media

MCMC Jelas Dakwaan Mengenai Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara

03 Sep 2019
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin menjelaskan beberapa kenyataan yang tersebar di media sosial mengenai Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diumumkan pada 28 Ogos lalu, iaitu: 

a. NFCP adalah sebuah projek mega,  
b. Kos NFCP telah meningkat daripada RM1 bilion kepada RM21.6 bilion sejak pengumuman kali pertama dibuat sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2019; dan 
c. Sebuah syarikat bernama Opcom akan menjadi penerima manfaat terbesar daripada projek NFCP. 

Untuk makluman, NFCP bukanlah sebuah projek mega tetapi ianya adalah sebuah pelan yang penting dan amat diperlukan yang menggariskan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan ketersediaan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk negara.  

Pelaksanaan NFCP akan berpandukan kepada dua turus utama. Pertama, ia akan membabitkan beberapa siri projek-projek infrastruktur yang akan dibiayai sama ada melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun secara komersial oleh para pemegang lesen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan. Projek-projek infrastruktur ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima (5) tahun ke seluruh negara dan akan mempergunakan  pelbagai teknologi yang antara lain merangkumi gentian optik, teknologi tanpa wayar dan  satelit.  

Kos keseluruhan sebanyak RM21.6 bilion juga adalah jumlah anggaran. Ia berkemungkinan besar akan berubah apabila NFCP ditambah baik dari semasa ke semasa. Namun, keutamaan MCMC adalah untuk memastikan pendekatan yang kos efektif seperti pengoptimuman penggunaan infrastruktur digital yang sedia ada, mengelak duplikasi dan berpandukan kepada polisi-polisi yang memberangsangkan. 

Turus kedua pula melibatkan penetapan dasar-dasar yang berkaitan untuk mempermudahkan pelaksanaan infrastruktur di seluruh negara. Ini akan merangkumi dasar-dasar yang mampu menangani isu-isu yang menghalang pelaksanaan infrastruktur dengan cepat dan pada kos yang efektif di peringkat negeri, mengoptimumkan penggunaan spektrum bagi meningkatkan  kualiti perkhidmatan jalur lebar mudah alih,  meningkatkan persaingan  di dalam  industri, mengalakkan  perkongsian infrastruktur serta dasar-dasar  berkaitan yang lain. 

Rujukan kepada NFCP dalam Belanjawan 2019 adalah seperti berikut: 
“Untuk menggalakkan perkembangan eknomi digital, Kerajaan akan melaksanakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion. Pelan ini bertujuan membangunkan infrastruktur jalur lebar dalam usaha memastikan pengagihan spektrum dilaksanakan dengan lebih efektif.” 

Ini bermakna, Kerajaan akan melaksanakan NFCP, bermula dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion. Peruntukan awal ini bertujuan untuk membiayai projek-projek infrastruktur terpilih pada 2019 untuk menyokong sasaran-sasaran NFCP, termasuk memperluaskan liputan mudah alih dan menyediakan kesalinghubungan gentian optik ke premispremis. Projek-projek tersebut kini dalam peringkat pelaksanaan awal. 

MCMC juga ingin menekankan bahawa NFCP terdiri daripada pelbagai projek infrastruktur, termasuk projek-projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri. Projek ini juga akan mempertimbangkan penggunaan teknologi-teknologi yang berbeza. Oleh itu, tidak ada satu 
syarikat khusus yang menyediakan suatu teknologi khusus boleh menjadi  penerima manfaat terbesar daripada NFCP.

Pihak Kerajaan mahupun MCMC tidak akan menetapkan penyedia  teknologi kerana perkara ini akan diputuskan oleh pihak pemegang lesen. Justeru itu, adalah tidak tepat untuk menamakan OPCOM sebagai penerima manfaat terbesar NFCP.   

PDF


 PDF

Kongsi artikel ini
Follow