Media & Events

MCMC Jejaki Pihak Yang Muat Naik Berita Palsu Pesawat Terhempas

26 Feb 2016
CYBERJAYA, 26 Februari 2016 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan bagi menjejak pihak yang memuat naik berita palsu dalam media sosial, kononnya sebuah pesawat milik Malaysia Airlines telah hilang daripada radar dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Melbourne. Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin menjelaskan, siasatan awal mendapati akaun yang digunakan untuk memuat naik berita tersebut atas nama samaran 'Sharifah Sofia Syed Rashid' merupakan sebuah akaun palsu. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk menyebarkan berita yang palsu dengan niat untuk menganggu orang lain. “Sehubungan itu, MCMC ingin memperingatkan orang ramai agar tidak menyebar, memuat naik, mahupun mempercayai sebarang berita yang belum ditentukan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai akaun atau mana-mana pihak berkaitan boleh menghantar maklumat berkenaan kepada [email protected].
Share this article
Follow