Media & Events

MCMC Lindungi Pengguna Daripada Aktiviti Penyamaran Di Media Sosial

29 Mar 2019
MCMC LINDUNGI PENGGUNA DARIPADA AKTIVITI PENYAMARAN DI MEDIA SOSIAL
  • 87.4% penduduk di Malaysia merupakan pengguna Internet
  • MCMC telah mengambil tindakan terhadap 2,823 akaun yang menyamar daripada tahun 2018 sehingga pertengahan Mac 2019
 
CYBERJAYA, 29 Mac 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil beberapa pendekatan proaktif dalam usaha untuk melindungi para pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.

Menurut Ketua Pegawai Sektor Pematuhan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin, antara pendekatan yang diambil termasuklah penutupan akaun-akaun terbabit dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.

Katanya, antara tahun 2018 sehingga pertengahan Mac 2019 yang lalu, sejumlah 2,823 akaun-akaun yang menyamar telah disusuli tindakan oleh pihak MCMC. Daripada jumlah tersebut, 80% daripadanya telah dipadamkan selaras dengan terma-terma dan syarat platform masing-masing.

“Kesemua tindakan ini diambil selaras dengan aduan daripada orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan, berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” ujar Zulkarnain.

Pada masa yang sama, pihak MCMC juga telah melaksanakan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai pentingnya penggunaan Internet secara berhemah. Hingga kini, program KDB telah menjangkau lebih 5 juta audiens sejak mula diperkenalkan pada 2012.
 
Mutakhir ini, tahap penggunaan Internet dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi iaitu seramai 28.7 juta orang (Sumber: Kajian Pengguna Internet 2018 MCMC).

Bagi memastikan masalah penyamaran dapat dibendung dengan berkesan, Zulkarnain menggesa pengguna yang menjadi mangsa untuk melaporkan perkara tersebut sama ada secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial ataupun kepada MCMC. Para pengguna juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan kawal selia kendiri dan peka dengan pelbagai risiko semasa berada dalam talian.

Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
MCMC adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (ASKMM) yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia. MCMC mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital. Akta Komunikasi dan Multimedia mengadakan peruntukan kepada MCMC peranan melaksanakan dasar, manakala dasar membuat keputusan adalah diperuntukkan kepada Menteri.
 
Untuk maklumat lanjut, layari www.mcmc.gov.my dan untuk penjelasan lanjut, sila hubungi:
 
Nurhalili Nadia Mustapha Kamal
Ketua, Jabatan Komunikasi Korporat
 
Markus Lim Han King
Timbalan Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporat
 
Tel: +603 8688 8000      Faks: +603 8688 1000         E-mel: [email protected]

PDF
Share this article
Follow