Pusat Media

MCMC Meraikan Syarikat Telekomunikasi Cemerlang Pada Majlis Star Rating Award 2018

03 Dis 2019
MCMC MERAIKAN SYARIKAT TELEKOMUNIKASI CEMERLANG PADA MAJLIS STAR RATING AWARD 2018
  • Anugerah ini mengiktiraf perkhidmatan cemerlang oleh syarikat-syarikat telekomunikasi kepada pengguna di samping menyemai budaya kualiti kecemerlangan dan menggalakkan persaingan sihat antara syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan
  • Pemenang dipilih berdasarkan kepada empat (4) parameter iaitu kepuasan pelanggan, kualiti perkhidmatan, pelaburan rangkaian dan pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998
 
CYBERJAYA, 3 Disember 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meraikan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan industri telekomunikasi yang cemerlang pada majlis Star Rating Award 2018 di Cyberjaya, hari ini.

Majlis Anugerah yang dianjurkan buat kali kedua ini bertujuan untuk mengiktiraf perkhidmatan cemerlang oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan kepada pengguna di samping menyemai budaya kualiti kecemerlangan dan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan mereka.
Anugerah Star Rating ini adalah satu pengiktirafan kecemerlangan prestasi pihak penyedia telekomunikasi bagi tahun taksiran 2018 berdasarkan kepada empat (4) parameter iaitu kepuasan pelanggan, kualiti perkhidmatan, pelaburan rangkaian dan pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dengan penekanan kepada aspek kepuasan pelanggan yang membawa pemarkahan tertinggi.

Pada majlis anugerah kali ini, syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd berjaya merangkul tiga (3) daripada lapan (8) anugerah yang dipertandingkan iaitu dalam kategori perkhidmatan selular iaitu Penyedia Perkhidmatan Selular Awam Terbaik (MNO), Kepuasan Pelanggan Terbaik dan Kualiti Perkhidmatan Terbaik.

Sementara itu, XOX Com Sdn Bhd telah memenangi kategori Penyedia Perkhidmatan Rangkaian Maya Selular Terbaik (MVNO), manakala Celcom Axiata Berhad pula memenangi anugerah bagi kategori Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik bagi penglibatan cemerlang secara keseluruhan oleh syarikat itu dalam siri program tanggungjawab korporat sosialnya.

U Mobile Sdn Bhd telah memenangi kategori Kualiti Perkhidmatan Terbaik, Maxis Broadband Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang untuk Pelaburan Rangkaian Terbaik, dan Webe Digital Sdn Bhd memenangi kategori Pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Terbaik.
Majlis Star Rating Award 2018 turut menyaksikan pengenalan satu lagi kategori anugerah baharu iaitu Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Berbayar Terbaik (BAS) yang dimenangi oleh TT Dotcom Sdn Bhd.

Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak berkata, “Sebagai pengawal selia industri telekomunikasi dan multimedia negara, MCMC komited untuk terus meningkatkan taraf pengalaman pelanggan bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan kualiti rangkaian tetap berkualiti tinggi. Para pelanggan bijak dan mahukan penyelesaian, bukan sekadar produk dan pakej individu. Oleh itu, pihak penyedia perkhidmatan perlu mencerminkan permintaan para pelanggan kerana pada akhirnya, hasrat kami adalah untuk menyediakan pengalaman perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik kepada semua rakyat Malaysia.”

Penganjuran majlis Star Rating Award mendapat sambutan yang baik daripada pihak penyedia perkhidmatan kerana ia telah menjadi dorongan kepada mereka untuk meningkatkan prestasi dalam setiap parameter yang ditetapkan itu.

Selain itu, perkembangan positif ini juga secara tidak langsung merangsang prestasi keseluruhan industri komunikasi dan multimedia negara. Sehingga November 2019, industri komunikasi dan multimedia negara telah mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM147.71 bilion dan daripada jumlah tersebut, industri telekomunikasi sahaja menyumbang sebanyak RM136.7 bilion dalam permodalan pasaran, menunjukkan signifikan industri berkenaan di negara ini.



PDF
Kongsi artikel ini
Follow