Media & Events

MCMC Sambut Ulang Tahun Ke-20: Kepentingan Pengguna Teras Utama

13 Nov 2018
MCMC SAMBUT ULANG TAHUN KE-20: KEPENTINGAN PENGGUNA TERAS UTAMA

CYBERJAYA, 13 November 2018  --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyambut ulang tahun ke-20 hari ini tekad untuk memastikan kepentingan pengguna menjadi keutamaan dalam sebarang tindakan yang dilaksanakan.

Menurut Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak, MCMC akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama iaitu capaian komunikasi dan multimedia yang menyeluruh, tahap perkhidmatan yang memuaskan dan pada harga yang berpatutan serta proses kawal selia yang lebih telus, sekaligus menjana persaingan yang lebih sihat dan adil.

Ini sejajar dengan matlamat utama penubuhan MCMC, iaitu mewujudkan industri komunikasi dan multimedia berkonsepkan kawalan kendiri, yang berdaya saing bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial negara.
“Pada masa yang sama, dinamik baharu dalam MCMC melalui barisan kepimpinan tertinggi MCMC beserta dengan ahli-ahli Suruhanjaya yang dilantik akan memastikan segala perancangan yang dicanangkan memberi faedah kepada rakyat Malaysia demi mencapai taraf negara industri moden,”  ujar Al-Ishsal lagi.

Peranan MCMC dalam sektor komunikasi dan multimedia negara semakin penting bagi mendepani Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang berteraskan teknologi digital. Ini sesuai dengan tema sambutan ulang tahun ke-20 MCMC iaitu Mencorak Landskap Digital yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan selaku pengguna industri komunikasi dan multimedia.
 
Share this article
Follow