Pusat Media

NFCP Perkasa Daya Saing Ekonomi Negara, Tingkat Taraf Hidup Rakyat Ke Arah Kemakmuran Bersama

19 Sep 2019
NFCP PERKASA DAYA SAING EKONOMI NEGARA, TINGKAT TARAF HIDUP RAKYAT KE ARAH KEMAKMURAN BERSAMA 
  • NFCP mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat
  • Kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan seperti KerajaanKerajaan Negeri, Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan komunikasi kritikal untuk menjamin kejayaan NFCP
 
PUTRAJAYA, 19 September 2019 --- Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) adalah satu usaha sama strategik kerajaan untuk merangsangkan daya saing ekonomi negara sekaligus mempersiapkan negara berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0 melalui tahap kesalinghubungan yang tinggi.

NFCP memudahkan kesalinghubungan digital dan membolehkan rakyat menikmati perubahan secara menyeluruh melalui usaha-usaha seperti kebolehcapaian perkhidmatan jalur lebar gentian optik dan pembinaan menara-menara komunikasi. Ia bertindak sebagai pemangkin dalam merapatkan jurang digital di antara kawasan luar bandar dan bandar serta menyediakan peluang yang seimbang kepada semua.

Akses kepada perkhidmatan internet berkelajuan tinggi yang dilaksanakan di bawah NFCP bukan sahaja memacu pertumbuhan dalam sektor-sektor seperti pelancongan, pembuatan dan pendidikan, tetapi ia juga akan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan di samping meningkatkan taraf hidup rakyat selaras dengan wawasan Kemakmuran Bersama Kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail telah melancarkan pelan 5-Tahun itu di sini, hari ini. Pelaksanaan NFCP menjurus kepada inisiatif berteraskan dasar dan projek. Ini termasuk pembangunan dasar seperti mengatasi halangan yang boleh menjejaskan pembangunan infrastruktur dengan cepat dan mengurangkan kos pembinaan infrastruktur di peringkat negeri, pengoptimuman penggunaan spektrum bagi mendapatkan liputan yang lebih berkualiti dan meluas, menambah baik tahap persaingan di dalam industri, menggalakkan perkongsian infrastruktur dan lain-lain dasar berkaitan. Bagi inisiatif berteraskan projek, pendekatan yang akan diambil merangkumi pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang akan melibatkan pembinaan rangkaian gentian optik, pemancar komunikasi mudah alih, kabel dasar laut dan perkhidmatan satelit di kawasan yang dikenal pasti.

Secara keseluruhan, kos pelaksanaan NFCP adalah dianggarkan berjumlah RM21.6 bilion untuk tempoh 5 tahun (bermula tahun 2019) di mana antara RM10 bilion hingga RM11 bilion akan diperuntukkan daripada dana Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dan selebihnya akan dibiayai secara komersial.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Al-Ishsal Ishak berkata pelaksanaan NFCP adalah tepat pada masanya, dan selari dengan matlamat negara untuk mengembangkan ekonomi digital. “NFCP akan mencorakkan alaf baharu Malaysia dengan liputan jalur lebar yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Ia akan memberi manfaat kepada komuniti-komuniti setempat dan menggalakkan mereka untuk terlibat dalam ekonomi digital, mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan merangkumi aktiviti pembinaan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur digital sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” kata Al-Ishsal. Sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dianggarkan mencecah 20% menjelang tahun 2020, daripada 18.3% pada tahun 2017.

PDF
 
Kongsi artikel ini
Follow