Media & Events

Peguam Disoal Siasat, Disyaki Salah Guna Media Sosial

11 Mar 2016
PEGUAM DISOAL SIASAT, DISYAKI SALAH GUNA MEDIA SOSIAL CYBERJAYA, 11 Mac 2016 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan operasi ke atas mereka yang didapati telah menyalahgunakan media sosial di internet.

Terbaru, seorang peguam dari Kuala Terengganu telah dipanggil IPD Kuala Terengganu untuk membantu siasatan terhadap satu komen palsu yang disyaki dimuatnaik di laman Facebook milik beliau.

Di dalam siasatan yang dijalankan, peranti milik peguam tersebut iaitu telefon bimbit jenis iPhone 6 yang disyaki digunakan untuk memuatnaik kandungan yang disiasat telah disita dan rakaman percakapan beliau tersebut juga telah diambil.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya, boleh dikenakan. Denda sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan turut boleh dikenakan.

Penggunaan media sosial dan perkhidmatan komunikasi seharusnya digunakan secara bijak dan berhemah. MCMC memandang serius mengenai penyalahgunaan media sosial dan perkhidmatan komunikasi dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Share this article
Follow