Media & Events

Pemenang Pertandingan Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Akan Ke KL Converge!

21 May 2015
KEMAMAN, Khamis, 21 Mei - Pemenang pertandingan mencipta aplikasi mudah alih anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang telah berlangsung pada 9 Mei lepas akan dibawa ke KL Converge! di Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Ogos nanti.

Pertandingan ini merupakan pertandingan hackathon yang pertama kali dianjurkan oleh MCMC di luar Kuala Lumpur dan menggunapakai konsep hackathon yang telah diadakan sebelum ini.

Pertandingan ini telah dibuka kepada orang awam khususnya kepada warga Pantai Timur iaitu penduduk dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan, berumur 18 tahun ke atas dan sasaran penyertaan adalah daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS di Pantai Timur. Setiap penyertaan adalah secara berkumpulan yang terdiri daripada dua hingga empat orang peserta.

Tema penciptaan aplikasi mudah alih dalam hackathon tersebut telah dibahagikan kepada tiga, iaitu aplikasi perkhidmatan kerajaan, bandar pintar dan pengurusan banjir. Setiap kumpulan yang mengambil bahagian hanya diberi tempoh selama 24 jam untuk membangun dan mencipta aplikasi mudah alih dengan menggunakan sebarang platform yang sedia ada.

Pertandingan tersebut merupakan susulan kepada kejayaan MCMC dalam menganjurkan beberapa hackathon yang telah mendapat sambutan yang amat baik di sekitar Kuala Lumpur. Berdasarkan sambutan yang memberangsangkan melalui pertandingan sebegini, konsep yang sama telah diadakan di Daerah Kemaman, Terengganu dengan objektif untuk menjadikan ia sebagai salah satu hub kandungan di bahagian Pantai Timur.

Kumpulan Sining dengan aplikasi 'Mamashroom Smart Tani' telah menjuarai pertandingan ini untuk kategori terbuka, dan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM7,000.00. Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Penyu Nelang dengan aplikasi yang diberi nama 'Qu Point'. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumplan Homesterboss dengan aplikasi 'D'Ganu Homestay'. Bagi kategori novis pula, kumpulan SPNY yang mencipta aplikasi ‘Park In’ telah memenangi wang tunai sebanyak RM3,000.00. Tempat kedua disandang oleh kumpulan Kingsman dengan aplikasi 'i-Istimewa' dan tempat ketiga kumpulan Choki-choki dengan aplikasi 'Karpul'. Pertandingan yang dijalankan dalam tempoh 24 jam di IKBN Kemasik di Kemaman itu telah disertai seramai 26 buah kumpulan yang terdiri dari pembangun aplikasi, pelajar dan usahawan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dan Ketua Pegawai Kandungan, Keselamatan dan Inovasi MCMC, Dato' Mohd Ali Hanafiah juga turut hadir bersamasama wakil-wakil dari MCMC dan Jabatan Kerajaan peringkat negeri Terengganu dan daerah Kemaman.


 PDF

Share this article
Follow