Media & Events

PI1M pasir Panjang Dirasmi, Permudahkan Urusan Seharian Penduduk

16 Jun 2016


PI1M PASIR PANJANG DIRASMI, PERMUDAHKAN URUSAN SEHARIAN PENDUDUK
 
PASIR PANJANG, 15 Jun 2016 --- Masyarakat setempat di kawasan Pasir Panjang, Sungai Besar kini berpeluang menikmati kemudahan internet jalur lebar melalui pewujudan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di kawasan berkenaan, di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia Pasir Panjang ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jailani Johari sambil disaksikan oleh Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah MCMC, Ahmad Nor Hisham Mohd Yusop, masyarakat sekitar Pasir Panjang, wakil-wakil daripada MCMC, jabatan kerajaan, syarikat perkhidmatan komunikasi, Pengerusi JKKK dan komuniti setempat.

Kemudahan PI1M memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) secara lebih mendalam melalui bengkel dan latihan yang disediakan, di samping dapat menggunakan kemudahan internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian mereka. Kewujudan PI1M di Pasir Panjang ini juga akan membantu menjana peningkatan sosioekonomi dalam kalangan komuniti setempat dan mewujudkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

Dalam pada itu, tiga lagi PI1M baharu bakal diwujudkan di Sungai Besar iaitu PI1M Kg. Desa Permai Parit 8, PI1M Tebuk Haji Yusof dan PI1M Kg. Sg Hj Dorani. Ketiga-tiga PI1M itu dijangka beroperasi pada awal tahun 2017 nanti.
MCMC telah menggariskan tiga ciri utama yang perlu ada pada setiap PI1M bagi memastikan pusat-pusat berkenaan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tiga ciri yang dimaksudkan itu ialah menjadikan PI1M sebagai sebuah pusat pembelajaran berterusan, pusat pembangunan kreativiti dan pusat kegiatan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
MCMC turut berhasrat untuk menjadikan PI1M sebagai ejen pengubah di kawasan-kawasan yang ianya beroperasi dengan harapan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti setempat serta mengurangkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Ianya akan dimulakan dengan menawarkan latihan yang boleh menjadi pemangkin kepada komuniti selain membantu mereka mengenali ilmu teknologi dengan lebih mendalam. Jalinan kerjasama akan turut dijalinkan antara pengurus dan penolong pengurus dengan para pemimpin setempat seperti Pegawai Daerah, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan guru-guru untuk tujuan yang sama.
Sebanyak 674 PI1M yang telah beroperasi di seluruh negara, dengan 32 daripadanya di Selangor. Di bawah Parlimen Sungai Besar, terdapat empat PI1M yang telah beroperasi iaitu PI1M Kg. Sungai Leman, PI1M Kampung Tengah Peket 100, PI1M Sungai Panjang dan PI1M Pasir Panjang.
 
TAMAT//

Share this article
Follow