Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Dibuka Di Pulau Tuba

23 May 2016

PULAU TUBA, LANGKAWI, 23 Mei 2016 --- Masyarakat setempat di kawasan Pulau Tuba kini berpeluang menikmati kemudahan internet jalur lebar secara kolektif melalui Pusat Internet 1Malaysia yang diwujudkan di Pulau Tuba, di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
 
Melalui Pusat Internet ini, perkhidmatan e-dagang dapat diperluaskan dan sektor keusahawanan dalam talian diharap dapat dikembangkan dengan lebih pesat dikalangan penduduk di sekitarnya. Pusat Internet ini akan memberi peluang kepada komuniti di Pulau Tuba untuk mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan lebih mendalam melalui bengkel dan latihan yang disediakan, selain dapat menggunakan kemudahan internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
 
Pusat  Internet  1Malaysia  yang  dilengkapi  dengan  perkakasan  IT  terkini  dan sambungan internet berkelajuan tinggi membolehkan masyarakat luar bandar memperolehi  kemudahan  yang  sama  tarafnya  seperti  di  bandar. 
 
Dengan  adanya  kemudahan  seperti  ini,  komuniti  setempat berpeluang  mempelajari  perkembangan  ICT  dengan  lebih  berkesan  tanpa sebarang halangan dari segi faktor ekonomi mahupun geografi.
 
Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia Pulau Tuba tersebut disempurnakan oleh Exco Sains, Inovasi & Teknologi Maklumat Negeri Kedah, Dato’ Norsabrina Mohd Noor, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Komunikasi dan Ekosistem Digital, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
 
Sehingga kini sebanyak 51 buah Pusat Internet 1Malaysia telah pun beroperasi di Kedah setakat akhir bulan April yang lalu.
 
 
 
TAMAT

Share this article
Follow