Berita Rasmi

Rakyat Kini Dapat Nikmati Siaran TV Digital MyFreeview

    RAKYAT KINI DAPAT NIKMATI SIARAN TV DIGITAL MYFREEVIEW
    • Malaysia menyertai lebih 60 buah negara lain di dunia yang telah beralih ke era penyiaran TV digital menerusi perkhidmatan Televisyen Terestrial Digital (DTT) yang dijenamakan sebagai myFreeview
    • Siaran digital menjanjikan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi yang lebih jelas, Panduan Program Elektronik, sarikata pelbagai bahasa, dan pelbagai fungsi menarik
    • Rakyat sudah dapat menikmati 15 saluran TV dan 6 saluran radio melalui myFreeview
     
    CYBERJAYA, 24 Mei 2019 --- Malaysia menyertai lebih 60 buah negara lain di dunia yang telah beralih ke era penyiaran TV digital dengan selesainya pelaksanaan perkhidmatan siaran TV terestial analog ke siaran digital sepenuhnya bawah jenama myFreeview.

    Siaran TV digital myFreeview menjanjikan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi yang lebih jelas secara definisi standard (SD) dan definisi tinggi (HD). Penonton juga dapat menikmati Panduan Program Elektronik (Electronic Programme Guide atau EPG), sarikata pelbagai bahasa, dan pada masa akan datang, fungsi perkhidmatan televisyen interaktif. 15 saluran TV dan enam saluran radio sudah mula bersiaran di platform myFreeview dan lebih banyak penyiar baharu dijangka akan menyertai perkhidmatan myFreeview selepas ini.

    Teknologi Televisyen Terestrial Digital (DTT) myFreeview menggunakan jumlah frekuensi yang jauh lebih rendah berbanding penyiaran TV analog. Hanya satu saluran TV analog dapat disiarkan melalui satu jalur frekuensi tetapi teknologi TV digital boleh menyiarkan sehingga 13 saluran TV berdefinisi standard melalui jalur frekuensi yang sama. Pengoptimuman penggunaan frekuensi ini membolehkan perolehan dividen digital yang boleh digunakan bagi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, termasuklah teknologi 5G.

    Rakyat boleh menerima siaran TV digital myFreeview dengan memasang dekoder DVB-T2 dan aerial UHF kepada set TV sedia ada atau melalui Televisyen Digital Bersepadu (Integrated Digital TV atau IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder serta memasang aerial UHF. Pada masa kini, terdapat 13 jenama IDTV yang telah mendapat pengesahan SIRIM yang telah pun berada di pasaran dan boleh didapati secara dalam talian, di pasar raya besar (hypermarket), atau di kedai-kedai elektrik terpilih di seluruh negara.

    Ketua Pegawai Sektor Digital MCMC, Gerard Lim berkata, “Siaran digital myFreeview sudah boleh dinikmati secara percuma, tanpa sebarang kos tersembunyi. Penonton hanya perlu membayar sekali sahaja untuk membeli IDTV baharu, dekoder DVB-T2, atau aerial luaran UHF; dan membayar yuran pemasangan sekiranya memerlukan bantuan pemasangan aerial atau perkhidmatan penyelenggaraan.”

    “Pada masa yang sama, siaran TV digital dijangka membantu merapatkan jurang digital bagi membolehkan akses kepada maklumat yang sama antara kawasan luar bandar dan bandar. Perkembangan ini turut memberi kelebihan kepada penyedia kandungan dalam menyediakan platform digital yang lebih besar untuk kandungan mereka dengan jangkauan yang lebih luas di seluruh negara,” tambah Gerard lagi.

    Pada masa ini, liputan siaran myFreeview telah mencapai sehingga 98% di kawasan berpenduduk melalui pembinaan infrastruktur dan rangkaian pemancaran DTT serta sokongan perkhidmatan satelit iaitu Langsung Ke Rumah (Direct-To-Home atau DTH). Perkhidmatan DTH ini disediakan bagi memastikan liputan siaran myFreeview di kawasan-kawasan terlindung.

    Sehingga 15 Mei 2019 yang lalu, pihak MYTV telah berusaha mengagihkan sebanyak 2 juta dekoder yang terdiri daripada 1.65 juta dekoder DTT dan 348,667 dekoder DTH kepada penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) yang berkelayakan dan memiliki sumber pendapatan yang rendah.

    Layari laman sesawang https://myfreeview.tv atau hubungi talian 1-800-181-088 untuk maklumat lanjut.

    PDF

Kandungan Berkaitan