Media & Events

Salah Guna Media Sosial: MCMC Rampas 16 Barang Kes, 3 Individu Disoal Siasat

31 Mar 2019
  • Serbuan telah dilakukan terhadap 3 individu di 4 lokasi
  • Suspek menghantar kandungan jelik dan lucah melalui aplikasi WhatsApp dan SMS 
 
CYBERJAYA, 31 Mac 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas sejumlah 16 barang kes berupa kad sim, kad memori, telefon bimbit, cakera keras luaran (external hard disk) dan komputer riba, dalam operasi serbuan terbaru di beberapa buah negeri awal minggu ini bagi mengekang penyalahgunaan media sosial. 

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Dato’ Mohd Shafie Harun memaklumkan, selain barang-barang berkenaan, turut ditemukan dalam serbuan itu adalah gambar-gambar lucah dan video seks berkaitan dengan kes-kes yang disiasat. 

Menurutnya, operasi serbuan kali ini tertumpu kepada empat lokasi iaitu di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. Serbuan terbaru ini dibuat selepas pihak MCMC menerima aduan daripada orang ramai dan menyusul hanya seminggu selepas serbuan sama dijalankan di 11 lokasi di beberapa buah negeri yang lain. 

Jelas Dato’ Shafie, kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh suspeksuspek menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan jelik dan video-video seks serta lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan niat untuk menganggu dan menyakitkan hati orang lain.  

“Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau. 

Kandungan yang diterima dalam telefon pengadu dan kad sim serta telefon bimbit perlu diserahkan kepada Jabatan Forensik Digital MCMC  untuk analisa forensik digital. Sejak 2018 sehingga 30 Mac 2019, 710 barang kes telah disita. Sementara itu, jabatan ini telah menerima 237 kes pada tahun 2018 dan bagi tahun ini, 110 kes telah diterima setakat 30 Mac 2019.  

Kes-kes yang berprofil tinggi seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau institusi diraja diberi keutamaan 1 untuk diselesaikan dalam masa 2 hingga 4 minggu, manakala kes-kes keutamaan 2 harus diselesaikan dalam masa 12 minggu; dan keutamaan 3, 24 minggu.  

Dalam pada itu, Dato’ Shafie juga berkata, kempen advokasi di seluruh negara menerusi program Klik Dengan Bijak akan terus diperhebatkan bagi menyemai penggunaan Internet secara berhemah dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini. 

Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk membuat aduan kepada pihak MCMC sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan isu salah guna media sosial. Aduan-aduan tersebut boleh disalurkan ke platform-platform seperti berikut: a. E-mel: [email protected] b. Talian aduan: 1800-188-030 c. WhatsApp : 016-2206 262 d. SMS: 15888 e. Twitter: @MCMCReact 
 
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________ 
Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) MCMC adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (ASKMM) yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia. MCMC mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital. Akta Komunikasi dan Multimedia mengadakan peruntukan kepada MCMC peranan melaksanakan dasar, manakala dasar membuat keputusan adalah diperuntukkan kepada Menteri.  
 
Untuk maklumat lanjut, layari www.mcmc.gov.my dan untuk penjelasan lanjut, sila hubungi: 
 
Nurhalili Nadia Mustapha Kamal Ketua, Jabatan Komunikasi Korporat 
 
Markus Lim Han King Timbalan Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporat 
 
Tel: +603 8688 8000      Faks: +603 8688 1007         E-mel: [email protected]  

PDF 
Share this article
Follow