Media & Events

Siaran TV Digital Sepenuhnya Di Semenanjung Malaysia Berikutan Penutupan Siaran TV Analog Malam Tadi

15 Oct 2019
SIARAN TV DIGITAL SEPENUHNYA DI SEMENANJUNG MALAYSIA BERIKUTAN PENUTUPAN SIARAN TV ANALOG MALAM TADI 
  • Siaran TV analog secara rasminya ditutup di Wilayah Utara dan Timur Semenanjung Malaysia pada pukul 12.30 tengah malam tadi
  •  Kemuncak kepada penutupan siaran TV analog akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober 2019 ini
CYBERJAYA, 15 Oktober 2019 --- Proses penutupan siaran TV terestrial analog di wilayah utara dan timur Semenanjung Malaysia telah berlangsung dengan jayanya apabila siaran berkenaan ditutup sepenuhnya secara rasmi pukul 12.30 tengah malam tadi di 49 Stesen Pemancar TV analog di tujuh (7) buah negeri-negeri merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Majlis ringkas peralihan siaran TV analog ke digital telah dijalankan di Gunung Jerai, Kedah dan Bukit Besar, Terengganu. Di Kedah, majlis telah telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, YB Mohd Firdaus Ahmad; Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Mohd Zaidi Abdul Karim; Pengurus Besar Negeri Telekom Malaysia; Anis Ahmad Mohd Ibrahim dan Naib Presiden Kawal Selia MYTV, Shamsul Najib Mohtar. Di Bukit Besar pula, seramai 40 orang mewakili MCMC, Telekom Malaysia Bhd, MYTV dan RTM telah berkumpul untuk menyempurnakan peralihan bersejarah itu.

Penutupan tersebut juga menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog dan bermulanya siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya di Semenanjung Malaysia. Kemuncak kepada proses peralihan siaran TV Digital myFreeview akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober 2019 yang bakal menyaksikan peralihan bersejarah kepada siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya di seluruh negara. Menerusi siaran TV Digital myFreeview ini, ia memberi pilihan kepada rakyat untuk menonton pelbagai saluran TV, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa, pendidikan interaktif dan rancangan-rancangan yang lain.

Selain itu, kewujudan aplikasi-aplikasi umpamanya membeli-belah dalam talian yang menjadi trend masa kini memberi kesempatan kepada rakyat untuk menambah sumber pendapatan mereka menggunakan platform TV Digital myFreeview. Pada masa yang sama, peralihan itu juga membuka peluang yang lebih besar buat industri kreatif dan para karyawan serta seniman negara untuk mengeluarkan pelbagai kandungan untuk rakyat Malaysia. Pelbagai usaha telah diambil untuk menguar-uarkan peralihan berkenaan kepada orang ramai.

Terutamanya, maklumat peralihan telah dipaparkan di skrin TV di kawasan utara dan timur selama seminggu bagi memastikan rakyat membuat persediaan yang sewajarnya untuk beralih ke siaran TV digital. Usaha-usaha lain termasuk menerusi Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) di stesen-stesen TV dan radio, program bualbicara serta kerjasama daripada pihak penyiar, penyedia perkhidmatan rangkaian, kerajaan-kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan utama yang lain amat membantu untuk mendidik rakyat.

Bagi mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview, anda adalah digalakkan untuk berbuat demikian dengan i) mendapatkan dekoder dan memasang aerial Ultra Frekuensi Tinggi (UHF) dan memasangnya kepada set TV sedia ada, ataupun ii) mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan penala digital dan memasangnya kepada aerial UHF. Dekoder percuma turut diedarkan kepada isu rumah B40 yang berkelayakan. Mereka boleh memeriksa kelayakan untuk mendapatkan dekoder percuma menerusi langkah-langkah berikut:

i) Taip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan anda) dan hantar ke 15888
ii) Layari laman www.mytvbroadcasting.my/B40
iii) Hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan myFreeview di talian 1- 300-80-6988 atau 1800-18-1088

PDF
Share this article
Follow