Media & Events

SK Piasau Dan SMK Tambulion Juara Pertandingan E-Majalah 2017 Peringkat Kota Belud

30 Jan 2018

KOTA BELUD, 30 Januari 2018 --- Sekolah Kebangsaan Piasau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tambulion masing-masing dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam kategori sekolah rendah dan menengah untuk pertandingan Majalah Sekolah Digital 2017 peringkat Kota Belud anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).  

Kedua-dua sekolah berkenaan berjaya mengetepikan saingan 28 buah sekolah lain di Kota Belud untuk merangkul hadiah wang tunai RM3000, sebuah plak dan sijil penghargaan. Naib johan untuk kategori sekolah rendah dan menengah masing-masing dimenangi oleh SK Peladok dan SMK Taun Gusi. Manakala SK St. Edmund dan SMK Usukan pula meraih tempat ketiga.  

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berlangsung di SMKA Tun Said itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Hajah Maimunah Binti Suhaibul sambil disaksikan oleh Pengarah Pejabat Wilayah MCMC Sabah, Mazlan Othman.  

Menurut Mazlan, kejayaan para pelajar di Kota Belud menjadi contoh terbaik bagaimana kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh kerajaan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup selain mengembangkan kreativiti dan inovasi melalui penghasilan kandungan digital.  

“Dengan adanya kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi yang disediakan di Kota Belud, keadaan ini bukan sahaja memudahkan penghasilan e-Majalah bahkan juga menjadi enabler kepada para pelajar untuk menghasilkan majalah yang lebih bermutu lagi kreatif,” ujar beliau.  

Setakat ini, sebanyak 143 buah sekolah meliputi kawasan Komuniti Pintar Kemaman, Putrajaya, Lundu dan Kota Belud telah menyertai bengkel penghasilan e-Majalah ini dan dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara membabitkan penyertaan lebih banyak sekolah.  

Program e-Majalah diperkenalkan pada 2015 bermatlamat untuk mentransformasikan majalah sekolah ke arah digital dan dijalankan di bawah inisiatif Komuniti Pintar.    
     
TAMAT 

Share this article
Follow