Media & Events

Teknologi 5G Bakal Mempertingkatkan Kualiti Hidup Rakyat Dan Menjana Pertumbuhan Ekonomi Negara

10 Apr 2019
  • 5G dapat menghubungkan banyak peranti dan menyokong penggunaan aplikasi baharu secara lebih meluas
  • Industri vertikal dapat memanfaatkan teknologi 5G, antaranya adalah penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pengilangan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan
  • Malaysia merupakan antara negara terawal di rantau Asia yang bakal mempamerkan kegunaan dan manfaat teknologi 5G pada 18 April 2019

CYBERJAYA, 10 April 2019 --- Industri-industri vertikal yang dapat memanfaatkan teknologi 5G, antaranya automotif, bandar pintar, keselamatan awam, media dan hiburan, pertanian, pendidikan, pengilangan dan penjagaan kesihatan dijangka akan memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi negara, bahkan juga kepada kualiti kehidupan rakyat di negara ini. Ketua Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Gerard Lim Kim Meng berkata, dengan adanya kemudahan teknologi 5G yang akan menawarkan kelajuan data yang lebih pantas, rakyat kini berpeluang untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dengan lebih berkesan sekaligus memberi nilai tambah kepada taraf hidup mereka.

Antaranya, kadar kependaman (latensi) serendah 1 milisaat memungkinkan sesi konsultasi dan pra-diagnosis melalui panggilan video dijalankan oleh para doktor pakar terhadap pesakit-pesakit yang berada jauh di kawasan luar bandar selain membantu dalam situasi kecemasan tanpa mengira lokasi masing-masing. 

Pada masa yang sama, ujar Gerard, mesin robotik yang menggunakan komunikasi antara mesin, sensor dan kamera industri 4K berkelajuan tinggi juga dapat meningkatkan kecekapan dan kebolehan dalam operasi, terutamanya dalam sektor pengilangan melalui pembuatan pintar. “Tidak ketinggalan juga, kereta dan bas pandu sendiri yang tidak pernah terlintas akan menjadi kenyataan dahulu, kini boleh direalisasikan.

Semuanya dapat dijayakan dengan adanya gabungan teknologi 5G bersama sensor, kamera, radar dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang membolehkan kenderaan bergerak sendiri tanpa
kawalan manusia,” katanya. 

Dalam aspek pertanian pula, 5G turut membolehkan dron digunakan untuk pertanian jitu (precision farming), serta pemetaan dan pemantauan digital bagi meningkatkan hasil pertanian dalam jangka
waktu yang lebih singkat. Bagi para pelajar, aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah akan menjadi lebih interaktif dan menyeronokkan dengan penggunaan simulasi (immersive education), kelas realiti maya dan kampus-kampus Internet-of-Things (IoT) pintar.

Dalam kalangan penduduk setempat pula, mereka bakal menerima manfaat dengan kewujudan Bandar Pintar dengan tersedianya capaian tanpa wayar tetap (fixed wireless access atau FWA) dan jalur lebar mudah alih tertingkat (enhanced mobile broadband atau eMBB). Capaian-capaian ini membolehkan para penduduk untuk menggunakan peranti seperti mesin basuh, televisyen dan pendingin hawa pintar yang boleh dikawal dari jarak jauh.

“Kesemua inisiatif yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membawa perubahan dalam kehidupan rakyat, selaras dengan perkembangan teknologi masa kini,” tambah Gerard lagi. 

Bagaimanapun, Gerard memaklumkan, teknologi 5G hanya akan dilancarkan dan digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa perkara yang perlu ditambah baik seperti aspek standard, kawal selia dan rangkaian yang perlu dinaik taraf.

Bagi melihat sendiri kegunaan dan manfaat teknologi 5G dalam kehidupan seharian, Pameran 5G Malaysia akan diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya yang bertemakan ‘Progressing Humanity.’ Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 18 April 2019, manakala pameran akan dibuka kepada orang ramai pada 20 dan 21 April nanti. 

5G merupakan rangkaian mudah alih generasi kelima iaitu teknologi baharu yang bakal menjanjikan prestasi yang lebih pantas dan baik, berupaya untuk menyokong lebih banyak peranti dan pengguna secara serentak; pada kadar kependaman yang rendah.

PDF
Share this article
Follow