Mengenai Kami

YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek

 
 

YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek telah dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 17 November 2020 untuk tempoh dua (2) tahun.

Dilahirkan di Semporna Sabah pada 20 April 1964, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dan Sarjana Sains Statistik dari Universiti Minnesota, Amerika Syarikat. Beliau juga memperoleh kelulusan Diploma Pentadbiran Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 1992.
 
YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad mempunyai pengalaman luas selama 28 tahun dalam pentadbiran awam dan beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Cawangan Perjawatan, Perkhidmatan dan Latihan di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos. Sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
 
Beliau memiliki pengalaman kerja yang luas di pelbagai agensi kerajaan antaranya Kementerian Pelajaran, Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Imigresen Malaysia.  YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad merupakan anak kelahiran Sabah pertama yang dilantik bagi memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian dan Pengarah Imigresen Negeri Sabah.
 
Selain itu, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad pernah mengetuai delegasi Malaysia di Mesyuarat ke-50 Small & Medium Enterprises Working Group (SMEWG) Meeting sempena Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC 2020) Malaysia. Dalam mesyuarat ini, beliau telah mengetuai rundingan khas pertikaian antara wakil Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China di dalam kenyataan bersama Menteri-Menteri SME APEC 2020. Beliau juga pernah membentangkan kertas kerja bertajuk Solid Waste Management in Malaysia ; Toward A Holistic Approach di Persidangan Dunia 2017 anjuran International Solid Waste Association di Maryland, Amerika Syarikat selain mempengerusikan Mesyuarat kali Ke-50 Eastern Regional Organization For Planning and Human Settlements di Quezon City, Filipina pada tahun yang sama.
 
YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad kini merupakan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah URBANICE Malaysia. Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk memegang keahlian lembaga pengarah  di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (Februari 2019 – Mac 2020), Syarikat Perumahan Berhad (Januari 2019 - Disember 2019), Perbadanan PRIMA Malaysia (Januari 2019 – Mac 2020),  Perbadanan PRIMA Malaysia (Januari 2019 – Mac 2020), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) (Mei 2015 – Mac 2020), UDA Holdings (Jun – November 2020), Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Mei – November 2020) dan Perbadanan Nasional Berhad (Oktober–November 2020).
 
YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1994 dan 2003 atas sumbangan bakti yang cemerlang sepanjang beliau berkhidmat sebagai penjawat awam. Beliau juga telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran iaitu Ahli Darjah Kinabalu Negeri Sabah (2006), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMK) (2008), Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) (2012), Pingat Kedaulatan Negara (PKN) (2014), Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) (2017), Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) (2017), Bintang Jasa Bomba (2018), Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) (2019) dan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan (DPMK) (2019).
 
 
 
Follow