Mengenai Kami

YBhg. Datuk Seri Tajuddin Atan

 
 

YBhg. Datuk Seri Tajuddin Atan telah dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 7 Julai 2020 bagi tempoh selama dua (2) tahun.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Agribisnes) dari Universiti Pertanian Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio.
 
Datuk Seri Tajuddin mempunyai pengalaman dan pengetahuan selama lebih dari 24 tahun dalam industri perbankan. Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perbankan sebagai pegawai bank di Bumiputera Commerce Bank Berhad dan berkhidmat di sana selama 17 tahun dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai Ketua Bahagian Kewangan. Beliau kemudiannya meninggalkan Bumiputera Commerce Bank Berhad untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional (Oktober 2004 sehingga November 2007), Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Disember 2007 sehingga April 2009), Pengarah Urusan RHB Bank Berhad (Mei 2009 sehingga Mac 2011) dan Pengarah Urusan Kumpulan RHB Capital Berhad (1 Julai 2009 sehingga 31 Mac 2011).
 
Datuk Seri Tajuddin juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai dan Pengarah Eksekutif Bursa Malaysia Berhad antara April 2011 dan Februari 2019. Beliau juga adalah Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Berhad dan Bursa Malaysia Derivatives Clearing Berhad. Di bawah kepimpinannya, Bursa Malaysia telah muncul sebagai pasaran saham pertama yang memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) – FTSE4GOOD Bursa Malaysia (F4GBM) yang mengukur prestasi syarikat-syarikat yang mempamerkan amalan ESG yang utuh, serta pelancaran Bursa Malaysia-I iaitu platform pelaburan Syariah hujung-ke-hujung pertama di dunia yang menawarkan peluang kepada para pelabur untuk produk-produk patuh Syariah.
 
Datuk Seri Tajuddin kini sedang berkhidmat sebagai Pengarah di Cagamas Berhad, Honda Malaysia Sdn Bhd dan Panel Disiplin di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB). Beliau juga adalah seorang ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasaran Modal yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Malaysia.
 
Beliau telah diiktitraf sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tahun 2020 oleh Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG), dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Kewangan oleh Universiti Putra Malaysia serta dianugerahkan “Fellow Chartered Banker” oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

 
Follow