Mengenai Kami

YBrs. Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek

 
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

YBrs. Dr. Fadhlullah Suhaimi bin Abdul Malek telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 10 Jun 2020.

 

Seorang doktor perubatan terlatih, Dr. Fadhlullah adalah graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1988. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Perubatan dalam Kesihatan Awam dari Univesiti Kebangsaan Singapura pada 1992 dan Ijazah Sarjana Sastera dalam Dasar dan Perancangan Pengurusan Kesihatan dari Universiti Leeds, United Kingdom pada 1996. Dr. Fadhlullah pernah menghadiri latihan pengurusan kanan di Institut Européen d'Administration des Affaires (INSEAD) dan Universiti Strathclyde. Beliau juga merupakan seorang alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
 
Dr. Fadhlullah memulakan kerjaya perubatannya dengan Kementerian Kesihatan, berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Kesihatan yang kedua di daerah Kinta, Perak pada 1993. Selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Kesihatan Awam dan dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia penubuhan Perubatan Keluarga Khas dan mentransformasi perkhidmatan Penjagaan Utama.  Pada 1997, Dr. Fadhlullah telah ditempatkan di Bank Negara Malaysia (BNM) dan beliau menjadi sebahagian daripada pasukan pembentuk laman sesawang untuk kad telekesihatan dan kad pelbagai guna semasa tahun-tahun awal Koridor Raya Multimedia (MSC), sebelum menyertai Telekom Malaysia (TM) sebagai Ketua Pegawai Kawal Selia dan Korporat.
 
Dr. Fadhlullah juga adalah merupakan ahli pengasas kepada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan Malaysia Internet Exchange (MyIX). Pada 2010, beliau telah berkhidmat di Unit Penyampaian Pengurusan dan Prestasi (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri sebagai Pengarah Bidang Ekonomi Utama Negara untuk Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur; Pertanian dan Perkhidmatan Perniagaan; dan Program Transformasi Kerajaan untuk Pembangunan Luar Bandar. Di sana juga, beliau turut berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Komunikasi Strategik untuk pihak Kerajaan.
 
Pada 2017, beliau telah dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan juga Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi, dari 1 Mac 2017 sehingga 30 Jun 2018. Dr. Fadhlullah kemudiannya meninggalkan MCMC untuk menjawat jawatan sebagai Pensyarah Kanan untuk Kesihatan Awam dan Pengarah Pembangunan Perniagaan di Universiti Perdana. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pendaftar sebelum dilantik sebagai Naib Canselor pada Januari 2019.
 
 
 
Follow