Mengenai Kami

YBrs. Dr. Zaidi Razak

 
 

YBrs. Dr. Zaidi Razak telah dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 7 Julai 2020 bagi tempoh selama dua (2) tahun.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Sains Komputer, Ijazah Sarjana Penyelidikan dalam Reka bentuk Cip, dan Doktor Falsafah dalam Pemprosesan Imej, terutamanya dalam Pengecaman Aksara Jawi; semuanya dari Universiti Malaya.
 
Selaku Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), beliau kini menerajui inisiatif Ekonomi Digital Sarawak yang merangkumi tujuh (7) sektor ekonomi utama dan lapan (8) pemboleh. Semasa peringkat awal pandemik COVID-19, beliau dengan jayanya memimpin sebuah pasukan projek untuk melaksanakan sistem pengawasan gelang tangan digital, pertama seumpamanya di Malaysia.
 
Dr. Zaidi adalah Ketua Sekretariat untuk Inisiatif Digital Ekonomi Negeri, Ketua Pegawai Keselamatan IT Negeri dan Penyelaras Perkongsian Data Terbuka Negeri di bawah Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak. Beliau juga memikul peranan sebagai Ketua Pasukan Petugas Penjana Pendapatan dan perunding dalam isu berkaitan dengan Telekomunikasi, Piawaian MSO, Sistem Kawalan, Pengecaman Karakter, dan Internet Kebendaan (IoT) untuk agensi-agensi Kerajaan. Dalam lapangan akademik pula, Dr. Zaidi berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan dalam Sains Komputer, Universiti Malaya. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengaturcara di Celcom (M) Bhd.
 
Beliau telah menerbitkan sebanyak 51 kertas penyelidikan dan jurnal serta pernah menjadi penulis bersama untuk sebuah buku bertajuk ‘ Pengenalan Kepada Sistem Pengendalian Edisi Kedua’. Sumbangan Dr. Zaidi telah diiktiraf apabila beliau dianugerahkan pingat emas pada Pameran Inovasi Islam di Kuala Lumpur (2014), Gold Medal British Invention di 8th British Invention Show (2008) dan Silver Medal International Exhibition ‘IDEAS-INVENTIONS-NEW PRODUCTS’ (iENA) (Jerman, 2008).
 
Follow