Pusat Media

5.7 juta premis diliputi gentian optik

23 Jun 2021, Kosmo

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sebanyak 5.7 juta premis telah diliputi dengan gentian optik setakat 31 Mac lalu menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bermula sejak September 2020.

MCMC berkata, pihaknyan menyasarkan pelaksanaan penyambungan gentian optik kepada 1,245,452 premis tambahan pada tahun ini selain menaik taraf 12,499 stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G untuk peluasan liputan dan peningkatan kelajuan.

“Selain itu, turut dilaksanakan ialah penamatan rangkaian 3G dan pemindahan spektrum bagi penggunaan teknologi 4G sekali gus meningkatkan kelajuan perkhidmatan.

“MCMC juga merancang membina 193 tapak menara komunikasi baharu (komersial) tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, MCMC berkata, bagi kawasan yang kurang berpenduduk di kawasan pedalaman, pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi dilaksanakan bagi meningkatkan liputan internet.

“Ia akan dilaksanakan di lapan buah negeri iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.

“Perkhidmatan tersebut dijangka siap dilaksanakan menjelang Oktober depan dan akan berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek,” katanya.

Dalam pada itu, MCMC berkata, bagi tahun depan pula, perancangan pelaksanaan JENDELA akan melibatkan sasaran untuk menyambung gentian optik kepada 929,631 premis tambahan dan pembinaan sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh meminta agar MCMC menjelaskan perkembangan terkini pelan JENDELA.

Kongsi artikel ini
Follow