Pusat Media

5G tingkatkan aspirasi pembangunan Malaysia - Mahathir

20 Jan 2020, bernama

LANGKAWI, 20 Jan -- Malaysia boleh mencapai objektif menjadi negara maju lebih awal dari 2030 sekiranya ia menerapkan teknologi 5G dengan teratur untuk pembangunan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata, wawasan itu boleh dicapai mungkin menjelang 2025.

Malaysia boleh ditadbir lebih baik dengan adanya teknologi 5G kerana ia membolehkan produktiviti meningkat apabila orang ramai boleh membuat pilihan dengan lebih cepat dan tepat, katanya pada persidangan akhbar.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.
 

Dr Mahathir berkata. "5G begitu komprehensif dan menyalurkan maklumat yang begitu banyak bagi membantu anda membuat keputusan. Malaysia perlu ditadbir lebih baik dengan menggunakan 5G kerana banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih cekap dan dilakukan pula oleh orang yang berpengetahuan.
 

“Jika anda tidak mempunyai pengetahuan, anda boleh sentiasa mengakses orang yang berpengetahuan.
 

“Jadi, saya berharap agar semua orang belajar bagaimana hendak mengguna 5G; persekitaran berbeza sepenuhnya, tidak lagi seperti sebelum ini.”
Terdahulu Dr Mahathir melawat Pusat Kawalan 5G di ibu pejabat polis Langkawi di sini.
 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberi contoh, dengan aplikasi 5G, paramedik boleh mendapatkan maklumat daripada pakar dan mereka boleh seterusnya membuat keputusan perkara yang patut dilakukan.
 

Pada waktu yang sama, katanya, jika seseorang itu pergi ke hospital, hospital berkenaan akan bersedia untuk menerima pesakit kerana ia telah mempunyai maklumat terlebih dahulu.

Dr Mahathir berkata, begitu juga dengan kes yang melibatkan pertanian, jabatan-jabatan kerajaan dari segi pentadbiran dan dalam kes polis.

“Sudah tentu, anda akan mendapati bahawa apa yang anda lakukan itu sebenarnya diketahui oleh polis. Jika anda melakukan sesuatu kesalahan, anda akan berhadapan masalah meskipun parkir di tempat yang salah.

“Kini, kita mendedahkan diri kita untuk diketahui oleh polis dan mereka yang lain. Berhati-hatilah sekarang kerana kita telah ada 5G di Langkawi. Jadi, bila anda datang ke Langkawi, tolonglah berkelakuan baik,” katanya dengan diiringi tawa dari hadirin.

Kongsi artikel ini
Follow