Pusat Media

97 peratus responden ramal NDID mudahkan pengesahan identiti

07 Sep 2020, Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Sept -- Sebanyak 97 peratus responden meramalkan rangka kerja Identiti Digital Nasional (NDID) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memudahkan proses pengenalan dan pengesahan pelanggan.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diperoleh hasil rundingan awam NDID berlangsung dari 13 Julai hingga 7 Ogos lepas, yang mendapat lebih 35,383 maklum balas dengan 35,160 adalah daripada orang awam, manakala selebihnya daripada kementerian dan agensi kerajaan serta organisasi swasta.

“Responden juga bersetuju NDID berpotensi untuk meminimumkan kos keseluruhan untuk proses pengesahan identiti. Majoriti responden pula menunjukkan minat untuk menggunakan NDID.

“Secara keseluruhan, 94 peratus kementerian dan agensi menunjukkan minat dan memberi pandangan positif terhadap pelaksanaan NDID,” menurut kenyataan itu.

NDID adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Dengan adanya NDID, pengesahan identiti pengguna daripada sumber sahih membolehkan urusan perkhidmatan yang cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin.

Kenyataan itu menyatakan hasil keputusan rundingan awam itu akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai rangka kerja NDID yang sesuai untuk Malaysia.

“Berikutan kejayaan rundingan ini dan pembabitan yang menggalakkan daripada orang ramai, MCMC akan menggunakan platform rundingan seperti ini untuk berhubung secara aktif dengan rakyat bagi inisiatif-inisiatif lain pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Kongsi artikel ini
Follow