Pusat Media

Ahmad Shabery Lancar Liga Remaja Kreatif 2014

28 Mei 2014, Bernama
CYBERJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek malam ini melancarkan Liga Remaja Kreatif (LRK) 2014, sebuah pertandingan yang mengetengahkan kreativiti pelajar dalam bidang kandungan kreatif.

Pertandingan kali keempat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini, adalah susulan kejayaan pertandingan pada tahun lepas yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah menengah seluruh negara.

Bertemakan 'Jalur Lebar Untuk Pendidikan', pertandingan kali ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Penyiaran, Telekom Malaysia Berhad dan Media Prima Digital.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu video dan dua kategori baharu iaitu aplikasi mudah alih dan portal Internet yang terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah seluruh negara mulai 28 Mei sehingga 4 Julai ini.

Setiap penyertaan mestilah dilakukan secara berkumpulan terdiri daripada empat orang pelajar.

Hasil karya mestilah asli yang belum pernah dihantar ke mana-mana pertandingan lain dan dihasilkan di dalam Bahasa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang LRK 2014 dihttp://lrk.mcmc.gov.my.
Kongsi artikel ini
Follow