Pusat Media

Aplikasi cHEART 'produk baharu' Pusat Internet Komuniti

14 Mac 2021, Bernama

KUANTAN: Aplikasi e-perubatan, cHEART menjadi 'produk baharu' Pusat Internet Komuniti (PIK) yang membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat atau konsultasi susulan kesihatan secara dalam talian, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata aplikasi itu dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan, DATA8 Sdn Bhd dengan PIK Kampung Cherating di sini, dipilih sebagai lokasi rintis untuk menjadi model penggunaannya sebelum dikembangkan ke lebih banyak PIK secara berperingkat.

Setakat ini, terdapat 873 PIK di seluruh negara di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penggunaan cHEART, menurut Saifuddin juga sebagai platform membudayakan teknologi dalam masyarakat khususnya di luar bandar atau pedalaman menerusi PIK.

"cHEART adalah sumbangan daripada pemain industri dan syarikat telekomunikasi untuk membuka lebih banyak ruang dan permintaan terhadap sistem e-Perubatan, memandangkan buat masa ini, permintaan di peringkat akar umbi untuk mendapatkan perkhidmatan secara maya masih belum meluas.

"Kita menggalakkan penduduk tempatan yang memerlukan perkhidmatan konsultasi susulan doktor atau pakar untuk menggunakan aplikasi ini dengan membuat janji temu bersama doktor di PIK tanpa perlu ke hospital yang secara tidak langsung menjimatkan masa, kos dan tenaga," katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran aplikasi cHEART serta memperkenalkan perkhidmatan bungkus dan hantar di PIK Kampung Cherating di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar; Pengasas DATA8 Sdn Bhd Rajifah Ramli, Pengarah SKMM Pahang, Zahari Ismail dan Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang, Datuk Zulfikri Hashim.

Buat permulaan, aplikasi cHEART membabitkan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh di Selangor, kata Saifuddin yang optimis jumlah hospital dan pusat kesihatan boleh diperluaskan apabila lebih ramai menggunakannya.

Beliau berkata penggunaan cHEART juga menjadi nilai tambah kepada PIK, selari dengan hasrat kementerian mahu menaik taraf perkhidmatan pusat internet itu yang kini sudah dikembangkan lagi penggunaannya termasuk untuk tujuan e-Dagang, e-Sport dan e-Tuisyen untuk kemudahan penduduk setempat.

"Satu kebimbangan ramai berkaitan teknologi ialah keselamatan data. Saya diberitahu cHEART menggunakan teknologi 'blockchain' bagi tujuan itu, selain juga memerlukan kebenaran pesakit untuk membuka data. Jika perlu, CyberSecurity juga sedia membantu pada bila-bila masa dalam soal ini," katanya.

Saifuddin berkata bagi menggalakkan lebih ramai memanfaatkan cHEART, pusat khidmat beliau akan menyediakan pengangkutan kepada mereka, khususnya warga emas yang ingin ke PIK menerusi sukarelawan IMFutures.

Selain cHEART, PIK Kampung Cherating yang terletak kira-kira 43 kilometer dari bandar Kuantan juga, menawarkan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran yang berpotensi membantu produk hasil penduduk tempatan dipasarkan lebih jauh menerusi perkhidmatan lebih bersistematik.

Kongsi artikel ini
Follow