Pusat Media

SKMM keluar notis siasatan awam kaji MSQoS

08 Apr 2021, Bernama
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalankan siasatan awam untuk mengkaji semula tiga MSQoS sedia ada berkaitan perkhidmatan telekomunikasi dan memperkenalkan satu MSQoS baharu berkenaan perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi.

SKMM dalam kenyataannya pada Khamis berkata, MSQoS yang terlibat dalam siasatan awam itu ialah MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu), MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar, MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap dan MSQoS Perkhidmatan Selular Awam.

Menurut SKMM, siasatan awam itu bertujuan mengumpulkan pandangan orang ramai dan semua pihak berkepentingan tentang cadangan piawaian baharu berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan terbabit bagi menggantikan MSQoS sedia ada.

"SKMM berpandangan MSQoS baharu dengan piawaian minimum yang lebih tinggi perlu diperkenalkan bagi menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi terkini, kehendak pelanggan dan hala tuju strategik negara ke arah pembangunan masa depan mengikut acuan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Inisiatif MyDigital," demikian menurut kenyataan itu.

SKMM berkata, antara syarat yang disemak semula ialah tempoh penyelesaian aduan dan respons perkhidmatan pelanggan, notifikasi kepada pelanggan berkenaan gangguan perkhidmatan, kelajuan rangkaian, keciciran data dan kelengahan rangkaian.

"Maklum balas boleh diberikan menerusi laman sesawang rasmi www.mcmc.gov.my bermula hari ini hingga 4 Jun dan semua ulasan akan dipertimbang untuk menyokong atau meminda cadangan MSQoS tersebut," katanya.

MSQoS merupakan dokumen kawal selia di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang menetapkan kualiti minimum yang perlu dipatuhi oleh syarikat yang menjalankan perkhidmatan telekomunikasi. Kegagalan mematuhi MSQoS yang telah diwartakan boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi terbabit didenda di bawah Seksyen 242 AKM 1998. 
Kongsi artikel ini
Follow