Pusat Media

Bicara Klik dengan Bijak dapat pengiktirafan antarabangsa - SKMM

12 Mac 2021, Bernama

KUALA LUMPUR: Program Bicara Klik dengan Bijak (#Bicara KDB) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tersenarai sebagai calon akhir kategori 17 Dimensi Etika untuk Masyarakat Bermaklumat bagi Anugerah World Submit of Information Society (WSIS) 2021.

SKMM dalam kenyataan media berkata, fasa pengundian bagi penganugerahan anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) itu akan berlangsung sehingga 31 Mac ini.

Penyertaan #Bicara KDB pada WSIS 2021 memfokus kepada inisiatif advokasi dalam talian yang dijalankan sepanjang tahun lalu, bagi menjayakan pelaksanaan program dan aktiviti pembudayaan norma baharu di era pandemik COVID-19.

"Sebagai calon akhir kategori 17, SKMM akan bersaing dengan penyertaan daripada negara termasuk Amerika Syarikat, Russia, Mexico, China, Perancis, Cuba, Colombia, dan Qatar.

"Pencalonan untuk inisiatif SKMM ini juga membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang dibangunkan di Malaysia," katanya.

WSIS Prizes adalah pertandingan antarabangsa unik dan dibangunkan bagi menilai serta mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan dan memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sebagai pemangkin kepada pembangunan.

Ia juga adalah satu platform mengenal pasti dan mempamerkan kisah kejayaan serta model yang boleh dicontohi bagi menghargai usaha pihak berkepentingan di atas komitmen mereka selain sebagai nilai tambah kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.

SKMM pernah dinobatkan sebagai Juara Hadiah WSIS bagi tahun 2016, 2017 dan 2020 bagi projek

"Komuniti Pintar Kemaman", "Pembangunan e-Majalah untuk Sekolah-Sekolah di Daerah Komuniti Pintar di Malaysia" dan "Klik Dengan Bijak."

Orang ramai dijemput mengundi projek ini untuk dipilih sebagai pemenang bagi kategori dipertandingkan menerusi pautan https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/2021/ sebelum 31 Mac.

Kongsi artikel ini
Follow