Pusat Media

Cybersecurity, SKMM menang anugerah di WSIS Prizes 2020

10 Sep 2020, Bernama

PUTRAJAYA, 10 Sept -- Dua agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) - CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) - meraih kemenangan di ‘Forum World Summit on the Information Society Prizes’ (WSIS Prizes) 2020 melalui projek masing-masing.

KKMM dalam kenyataan hari ini menyatakan, CSM dinobatkan sebagai ‘Project Winner’ menerusi projek ‘Global Accredited Cybersecurity Education (ACE) Scheme: Centre of Excellence for Capacity Building and Lifelong Learning’ bagi kategori ‘Building Confidence and Security in Use of ICTs’.

Menurut kenyataan itu, SKMM pula diumumkan sebagai ‘Project Champion’ menerusi projek Klik Dengan Bijak bagi kategori 'Ethical Dimensions of the Information Society'.

Kenyataan itu menyebut, projek ‘The Global ACE Scheme’ merupakan skim pembangunan profesionalisme dalam bidang keselamatan siber yang dibangunkan CSM, dengan kerjasama agensi kerajaan, industri, institusi akademik dan disokong Pertubuhan Kerjasama Islam - Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (OIC-CERT).

“Skim yang dibangunkan sejajar dengan piawaian antarabangsa itu, telah mewujudkan platform penyatuan tunggal dalam pembangunan keupayaan dan pembelajaran sepanjang hayat, bagi membolehkan individu meningkatkan kemahiran dan kefahaman dalam bidang keselamatan siber,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut KKMM, sebanyak lima projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, dipilih sebagai pemenang di WSIS Prizes 2020 dalam kategori berasingan.

Tiga lagi projek ialah ‘Government Integrated Telecommunications Network’ dan ‘Digital Document Management System 2.0’ (DDMS) yang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), serta ‘Breast Cancer Classification CAD through Multilayer Neural Network’ oleh Universiti Multimedia (MMU).

WSIS dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Forum berlangsung dari 7 hingga 10 Sept di Geneva, Switzerland itu merupakan platform global bagi membincangkan peranan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), sebagai salah satu kaedah pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kongsi artikel ini
Follow