Pusat Media

DBKK & MCMC Meterai Memorandum Persefahaman CIPM bagi Mempertingkatkan Kutipan Fi PBT di Negeri Sabah

02 Apr 2022
KOTA KINABALU, 2 April 2022 --- Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan System Communication Infrastructure Permit Management (CIPM) telah dimeterai antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada hari ini.
Selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, pihak DBKK telah bersetuju untuk mengguna pakai sistem CIPM ini bagi menambah baik proses sedia ada selain untuk mengurangkan ketirisan pada pendapatan DBKK. Melalui penggunaan sistem ini, ianya akan dapat memastikan struktur menara yang didirikan oleh pihak penyedia perkhidmatan mempunyai kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta dapat mengenal pasti struktur menara telekomunikasi yang beroperasi tanpa permit yang sah.
 
Penggunaan sistem CIPM tersebut juga bertujuan untuk memudahkan urusan permohonan dan kelulusan pembaharuan permit prasarana telekomunikasi oleh PBT dan pemilik prasarana telekomunikasi di masa akan datang. Di samping itu, ianya juga dapat memperkukuhkan tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan melalui perkhidmatan teknologi digital dan secara dalam talian bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta efektif.
 
Melalui penggunaan sistem CIPM juga, ia akan membantu dalam melancarkan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Dengan maklumat tepat mengenai infrastruktur digital di negeri Sabah, usaha untuk menambah baik kawasan yang tidak mempunyai liputan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dengan ini, Sabah akan menggunakan sistem CIPM sama seperti mana di Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.

Memorandum persefahaman berkenaan telah ditandatangani oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Yang Berbahagia Datuk Noorliza Awang Alip, Ketua Pegawai Operasi MCMC, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan disaksikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah dan merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir, JP; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Yakub Khan dan Pengerusi MCMC, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

DBKK.png
Gambar 1: KETUA Pegawai Operasi MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus (dua dari kanan) dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip (dua dari kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Communication Infrastructure Permit Management System (CIPM) di Kota Kinabalu, Sabah.
 
Gambar 2: SESI Pertukaran MoU CIPM antara Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip (kiri sekali) dengan Ketua Pegawai Operasi MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus (kanan sekali) sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah dan merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir, JP (bertopi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Yakub Khan serta Pengerusi MCMC, Dato’ Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek (dua dari kanan).
 
Hadir sama ke majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi MCMC, Shamsul Izhan Abdul Majid dan Ketua Pengarah DBKK, Puan Junainah Abbie.
 
Kongsi artikel ini
Follow