Pusat Media

Fasa 1 JENDELA capai sasaran

01 Jun 2023, Berita Harian
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Fasa 1 Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah mencapai sasarannya dalam memperluaskan liputan dan mengukuhkan kualiti pengalaman jalur lebar kepada pengguna di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC)< Dato' Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, berkata dengan pencapaian itu, Fasa 2 JENDELA dijangka akan dimulakan pada suku ketiga atau keempat tahun ini. 

Beliau berkata, liputan 4G sudah melepasi sasaran yang ditetapkan SKMM bersama syarikat telekomunikasi sebanyak 96.9 peratus dengan capaian 96.92 peratus. 

Katanya, sejumlah 7.74 juta premis telah menggunakan jalur lebar sehingga 31 Disember 2022, melepasi sasaran sebanyak 7.5 juta premis.

Manakala kelajuan internet pula katanya berada pada 43.46 Mbps hingga 116.03Mbps, berbanding sasaran Fasa 1 JENDELA iaitu 35 Mbps.

"Dengan kejayaan ini Fasa 2 JENDELA dijangka akan dimulakan pada suku ketiga atau keempat kerana berdasarkan sasaran ia seharusnya bermula tahun ini juga.

"Dengan ketersediaan semasa untuk liputan 4G dan kelajuan internet, jalinan digital negara telah dipertingkatkan dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika taklimat media prestasi JENDELA secara maya hari ini.

Ketika ditanya mengenai pelaksaan 5G pula, Mohd Ali Hanafiah berkata ketika ini pelaksaan teknologi itu berjalan lancar mengikut perancangan.

Beliau berkata, pasukan petugas khas 5G yang dibentuk bagi memastikan pelaksanaan rangkaian itu juga sudah mengadakan mesyuarat kali kedua hari ini.

Katanya, MCMC yakin sasaran untuk mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk bagi 5G dapat dicapai pada akhir tahun ini sekaligus membolehkan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G dan entiti kedua dapat dilaksanakan.

Rangkaian 5G katanya mendapat sokongan semua pihak termasuk daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

"Kami yakin sasaran 5G akan dapat dicapai seterusnya memberikan liputan yang lebih baik kepada rakyat.

"Namun kadar penggunaan liputan 5G masih rendah sekitar 3.1 peratus atau 1.2 juta pengguna," katanya.

Sementara itu, dalam taklimat sama, semua MNO turut menyatakan sokongan kepada pelan 5G yang dilaksanakan kerajaan daripada peralihan kepada model dwirangkaian 5G dan kewujudan entiti kedua.

Ini termasuklah Maxis Bhd, satu-satunya MNO utama yang tidak memeterai Perjanjian Akses (AA) 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi menyediakan perkhidmatan 5G.

Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Fakir Ali, berkata pihaknya sentiasa menyokong pelaksaan 5G dan akan memperkenalkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial untuk pelanggan tidak lama lagi.

Beliau berkata, Maxis juga sedia untuk menawarkan kepakarannya dalam pembangunan rangkaian kepada semua pihak.

"Maxis sentiasa bersedia. Dari sudut rangkaian dan operasi, kami sudah bersedia (untuk penawaran 5G).

"Maxis akan sentiasa menjalin kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasukDNB dan MNO yang lain," katanya.

Sebelum ini Maxis pernah menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan industri untuk mempercepat pelaksanaan 5G bagi negara sejajar dengan aspirasi digital kerajaan.

Ini kerana Maxis mengakui kepentingan pelaksanaan 5G yang cekap dan manfaat ekonomi yang akan dibawa kepada semua rakyat Malaysia.

Maxis pada 2 November 2022 menjelaskan, adalah mandatori untuk syarikat itu mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham bagi memeterai AA dengan DNB, selaras dengan Akta Syarikat 2016 dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Setakat ini, MNO seperti U Mobile Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (yang kemudiannya bergabung sebagai CelcomDigi) serta YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia menandatangani AA 5G dengan DNB pada 30 Oktober 2022 untuk menawarkan perkhidmatan 5G di Malaysia.

Kongsi artikel ini
Follow