Pusat Media

Jendela bantu lancarkan PdPR di pedalaman Selangor

22 Mac 2022, Sinar Harian
SHAH ALAM - Beberapa kawasan pedalaman di Selangor yang sebelum ini berhadapan dengan masalah capaian Internet lemah yang menyebabkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) kerap terganggu, berjaya diatasi selepas kerja penaiktarafan menara komunikasi dan pemasangan akses jalur lebar tanpa wayar melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Selangor, Rizal Abd Malek berkata, melalui Jendela, beberapa lokasi struktur menara komunikasi sedia ada di negeri itu telah dinaik taraf daripada teknologi 2G kepada 4G selain pemasangan akses jalur lebar tanpa wayar, supaya masyarakat sekitar mendapat liputan yang lebih baik.

"Pelaksanaan Jendela di Selangor sudah sampai hampir 100 peratus, malah perkhidmatan jalur lebar di kawasan pendalaman di negeri ini kini dipertingkat dengan tambahan 17 menara baharu termasuk tujuh di perkampungan Orang Asli.

"Bagi naik taraf yang dilakukan di Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey dekat sini, liputan dan ‘kelajuan jalur lebar' di kampung ini telah bertambah dari 10 megabit sesaat (Mbps) meningkat kepada 78 Mbps. Ia sesuatu yang sangat memberangsangkan.

"Dengan adanya penambahbaikan seperti ini, kita dapat merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar. Masalah pembelajaran pelajar di sini juga tidak lagi timbul,” katanya kepada Bernama.

Jalinan Digital Negara atau Jendela adalah sebuah rancangan penyediaan infrastruktur digital yang komprehensif bertujuan untuk memberi perkhidmatan internet tetap dan mudah alih yang berkualiti kepada pengguna.

Menurut Rizal, terdapat hampir 7,000 struktur menara komunikasi di Selangor setakat ini dengan 13 menara masih dalam pembinaan dan 17 menara akan dibina di kawasan luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli.

"Selain pembinaan menara, kita juga telah membuat pemasangan akses jalur lebar tanpa wayar di lima kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya.
 
Kongsi artikel ini
Follow