Pusat Media

Lima suspek disiasat tular berita palsu COVID-19

23 Mac 2020, bernama

KUALA LUMPUR, 23 Mac -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah mengambil rakaman percakapan lima suspek atas tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19 di beberapa lokasi di Perak dan Pulau Pinang. 

SKMM dalam kenyataan memaklumkan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. 

“SKMM dan PDRM berganding bahu melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sehingga hari ini, SKMM telah menerima sebanyak 43 kes daripada orang awam dan 18 suspek telah dikenal pasti.

Enam daripada mereka termasuk seorang selebriti telah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. 

Sekiranya terdapat keraguan mengenai kesahihan sesuatu berita, sila layari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy dan bagi sebarang maklumat penularan berita palsu mengenai COVID-19 boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

Kongsi artikel ini
Follow