Pusat Media

MCMC perbanyakkan program kefahaman manfaat teknologi 5G

21 Jan 2020, bernama
LANGKAWI, 21 Jan -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperbanyakkan program kesedaran tentang teknologi generasi kelima (5G) kepada masyarakat, bagi mengelakkan kekeliruan serta memberi kefahaman tentang manfaat 5G kepada industri dan pengguna.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata buat masa ini, penggunaan 5G yang paling utama adalah untuk industri, dan pihaknya belum lagi mencuba untuk menampilkan teknologi itu untuk kegunaan peranti mudah alih.

"Untuk kegunaan mobile (peranti mudah alih) bagi penggunaan seperti media sosial dan sebagainya, 4G masih relevan dalam tempoh 10 tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mempromosikan manfaat 5G menerusi laman web dan media sosial menerusi lebih 30 video, tapi akan pelbagaikan lagi medium dan cara bagi memastikan masyarakat faham perbezaan antara 3G, 4G dan 5G.

Beliau menegaskan 5G dan 4G akan dibangunkan secara serentak seperti yang terkandung dalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang akan membolehkan ekosistem rangkaian lebih mampan dan menyeluruh.

Al-Ishsal berkata, kesemua teknologi itu perlu dibangunkan serentak bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial.

"Kita perlu baik pulih, naik taraf 4G di Malaysia kerana ia masih belum matang dan masih perlukan pelaburan daripada syarikat telekomunikasi.

"Tetapi pada masa yang sama, kita kena lihat kepada masa hadapan yang memerlukan teknologi 5G bagi membantu meningkatkan keluaran sektor tertentu yang banyak menyumbang dan beri impak tinggi kepada ekonomi negara," katanya.

5G sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi selama enam bulan sehingga Mac ini.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai antara perintis 5G di rantau ASEAN.
Kongsi artikel ini
Follow