Pusat Media

MCMC: Tindakan tegas ke atas penyebaran kandungan berbaur provokasi, berita palsu dalam talian

24 Nov 2022, Dagang News
CYBERJAYA, 24 Nov - Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 22 November 2022, Pengerusi Interim MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din memaklumkan hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh pihak MCMC mendapati, terdapat pengurangan dalam penyebaran berita palsu dan berbaur provokasi dalam talian berbanding dengan tempoh kempen semasa Pilihan Raya Umunm ke-15 (PRU-15).

MCMC juga turut berkerjasama dengan pihak penyedia platform untuk menurunkan kandungan -kandungan berbentuk provokasi ini. 

Sehingga kini, sejumlah 101 hantaran provokasi telah dilaporkan dan kesemua hantaran berkenaan telah diturunkan. 

Pihak MCMC menghargai kerjasama Tik Tok dan Instagram atas kepantasan mereka dalam menurunkan kesemua kandungan yang telah dilaporkan kepada mereka. 

MCMC akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menular semula kandungan-kandungan lama yang telah diturunkan atau akaun yang telah dinyahhapus. 

Berdasarkan laporan sehingga 23 November 2022, Pasukan Petugas Siber Polis Diraja Malaysia PDRM-MCMC telah menerima sebanyak 36 aduan daripada orang ramai dan 20 daripadanya telah diselesaikan melalui tindakan pentadbiran iaitu sama ada melalui penurunan kandungan dan penafian di portal Sebenarnya.my. 

Sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka dan proses siasatan sedang dijalankan termasuklah mengenal pasti mereka yang terlibat.

Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikai dan Multimedia (AKM) 2 1998.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. 

Orang ramai diseru untuk menghormati perbezaan pandangan dan pendapat selain menerima kepelbagaian dan inklusiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

MCMC sedang bertindak dan telah mengarahkan pasukannya bersiap siaga sepanjang masa dan boleh dihubungi melalui saluran-saluran yang disebutkan di bawah sekiranya anda perlu membuat sebarang aduan.

Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan di pautan https://aduan.skmm.gov.my/; talian aduan: 1-800-188-030; WhatsApp di 016 2206 262 dan emel di [email protected].

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.
Kongsi artikel ini
Follow