Pusat Media

Menara komunikasi di Batu 10, Hutan Melintang terbakar

04 Jun 2021, Bernama
IPOH: Menara komunikasi milik syarikat telekomunikasi Digi yang dikongsi bersama Celcom dan Maxis di Batu 10, Hutan Melintang kira-kira 119 kilometer dari sini, terbakar dalam satu insiden pagi Jumaat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan malam ini memaklumkan ekoran insiden yang berlaku pada kira-kira 7 pagi itu, gangguan liputan komunikasi dan internet dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari.

"Pihak MCMC telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan yang berada di menara komunikasi tersebut untuk melaksanakan kerja baik pulih dengan kadar segera dan difahamkan kerja-kerja tersebut sedang giat dijalankan bagi memulihkan rangkaian komunikasi yang terjejas," menurut kenyataan itu.

Rangkaian komunikasi yang terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya, Ahad ini.

Punca kebakaran menara komunikasi berkenaan masih dalam siasatan, menurut kenyataan itu.
Kongsi artikel ini
Follow