Pusat Media

Menara telekomunikasi Kampung Pangi, Tenom dinaik taraf kepada 4G

24 Ogo 2021, Bernama

KOTA KINABALU: Menara telekomunikasi yang terletak kira-kira 0.17 km dari Sekolah Kebangsaan Kampung Pangi, Tenom akan dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G dan dijangka siap April tahun depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan ia sebagai perancangan jangka panjang untuk menangani masalah capaian Internet di kawasan kampung berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan merujuk kepada sebuah laporan media pada 12 Ogos berkenaan aduan liputan di kawasan itu, MCMC cawangan Keningau bersama dengan wakil penyedia perkhidmatan telah mengadakan lawatan ke lokasi aduan pada 19 Ogos lepas.

“Hasil lawatan tersebut mendapati, wujud masalah pada sistem transmisi satelit ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) di menara komunikasi yang berdekatan.

“Sehubungan itu, MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan yang berkenaan untuk mengatasi masalah tersebut dengan kadar segera bagi memastikan penduduk dan pelajar di Kampung Pangi dapat menikmati kembali liputan telekomunikasi yang lebih baik,“ menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, MCMC memaklumkan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), sebanyak 28 menara baharu akan dibina di daerah Tenom dan kerja-kerja pembinaan menara baharu itu dijangka bermula pada suku terakhir 2021 dan siap secara berperingkat pada Disember 2022.

“Bermula April lepas sebanyak 62 stesen pemancar sedia ada sedang dinaik taraf perkhidmatannya kepada 4G/LTE, daripada jumlah tersebut, 13 stesen pemancar siap dinaik taraf setakat ini. Dua kawasan di daerah ini juga akan mendapat liputan Internet melalui projek Jalur Lebar Satelit,“ menurut kenyataan itu.

Kongsi artikel ini
Follow