Pusat Media

Mencelik digital masyarakat melalui PEDi

06 Sep 2022

PERANAN Internet dan teknologi maklumat (IT) dalam kehidupan, pendidikan dan pekerjaan masa kini sememangnya tidak dapat dinafikan. Kepentingannya amat signifikan walaupun di mana sahaja kita berada, sama ada di bandar atau pedalaman dan dihubungi menggunakan talian berkabel atau tanpa wayar.

Memandangkan kepentingannya, kerajaan tidak mahu penduduk bandar sahaja berpeluang menikmati nikmat pembangunan teknologi tersebut dengan melaksanakan program-program yang tidak mengabaikan penduduk di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang berfungsi sebagai Pusat Sehenti untuk menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar.

Selain itu, ia juga akan membolehkan masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, mengambil bahagian dalam program mengasah kemahiran dalam peniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pembinaan tambahan 173 PEDi di seluruh negara yang dijangka siap pada tahun depan.

Setakat ini, terdapat 911 PEDi di seluruh negara telah beroperasi dengan menyediakan capaian Internet selain kemahiran asas digital kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, tambahan pembinaan PEDi itu dapat merealisasikan hasrat pihaknya untuk menjadikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memiliki sekurang-kurangnya satu (1) pusat internet komuniti berkenaan.

“Setakat ini pihak kami telah merekodkan lebih 100,000 pengguna menerima manfaat daripada PEDi. Oleh itu, penambahan PEDi ini kelak dapat memperluaskan lagi capaian Internet kepada masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Selain menyediakan kemudahan capaian Internet, kami juga akan mewujudkan peranti Internet yang dapat membolehkan komuniti untuk membawanya pulang ke rumah. Fungsinya akan lebih tersebar luas, selain kemudahan rangkaian internet kawasan setempat tanpa wayar (WiFi) juga akan diperluaskan,” katanya.

Dari sudut ekonomi pula, PEDi ditubuhkan bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi dan memperkasakan modal insan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan miskin bandar melalui usahawan-usahawan celik IT.

“Ia juga akan membimbing dan melahirkan usahawan mikro yang menggunakan teknologi digital, bagi mempergiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing,” menurut MCMC.

Bagi Ahmad Kamari, penduduk di Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor, PEDi merupakan tempat baginya mempelajari teknologi telekomunikasi yang membolehkannya berhubung dengan anak-anak dan cucu walaupun ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pak cik nak belajar macam mana nak buat panggilan video call.., pakcik rindu anak dan cucu pakcik,” katanya memetik kata-katanya melalui video yang dipaparkan di MCMCTV.

Bagi Pak Cik Mohd Aripin Mamat, 75, dari Kelantan, teknologi maklumat sememangnya tidak mengenal erti usia kerana dia memanfaatkan sepenuhnya teknologi Internet dan telefon bimbit bagi mendengar ceramah dan kuliah agama ketika negara melaksanakan PKP.

“Teknologi maklumat ialah satu alat bantuan seperti bantuan untuk kita sebab semasa PKP, masjid, surau tutup..maknanya semuanya ditutup. Tidak boleh hadir untuk dengar cemarah dan kuliah untuk kita mengaji dan belajar hukum hakam,” katanya.

Katanya, kini segala perkembangan berita boleh diketahui melalui teknologi dan ibu bapa juga boleh menghubungi anak-anaknya yang jauh walaupun berada di luar negeri melalui teknologi.

“Walaupun tidak boleh jumpa dengan anak-anak yang jauh yang beada di luar negeri..tetapi tiap-tiap hari kita boleh berbual bersama dengan mereka menggunakan teknologi.. inilah kelebihan dan kemudahannya yang saya rasa,” tambahnya.

Mohd Ghazali Abdullah, 64 tahun, juga dari Kelantan berkata, dia menggunakan teknologi untuk melakukan pembayaran dalam talian seperti membayar bil air, elektrik, Astro dan juga ansuran kereta.

“Ia menjimatkan masa, kewangan. Di sini kalau nak bayar bil, paling dekat kena pergi pekan Tanah Merah. Jadi saya akan ke kafe siber untuk menggunakan perbankan dalam talian dan boleh guna di mana-mana sahaja (untuk bayar bil). Biasanya, saya duduk di rumah sahaja atau ke pusat Internet terdekat,” katanya.

Melahirkan Usahawan Digital

Menurut MCMC, PEDi merupakan sebahagian daripada program kerajaan untuk melahirkan usahawan kecil dan sederhana dengan sasaran melahirkan 600 PEDi yang aktif menjadi hos kepada usahawan.

Dengan diketuai MCMC, usaha dilaksanakan melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan bank serta platform e-dagang seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),  Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, SME Corp. Bank Simpanan Nasional, AEON dan SHOPEE.

Program lima (5) tahun sehingga 2025 itu bertujuan untuk memupuk dan membantu 800,000 usahawan menggunakan teknologi digital dalam perniagaan mereka.

Melalui program itu, MCMC berharap dapat mewujudkan lebih ramai usahawan digital, meningkatkan pengeluaran dan produktiviti melalui pendigitalan perniagaan yang seterusnya akan menjana keuntungan lebih tinggi, persekitaran perniagaan yang mampan dan teguh serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

Bagi sesetengah program, impaknya adalah berdasarkan latihan yang ditawarkan dan juga bilangan usahawan yang menggunakan platform e-dagang dan jualan dalam talian. Sebagai contoh, di bawah program Pupuk@Shopee, 10,000 usahawan mikro disasarkan untuk menyertai ke platform e-dagang dengan purata peningkatan hasil sebanyak 30 peratus.

Melalui kerjasama strategik antara MCMC dan rakan kongsinya di bawah PUPUK, pelbagai inisiatif keusahawanan diperkemas bagi memastikan program yang lebih mantap dan sesuai disediakan untuk usahawan mikro.

Menjelang akhir suku pertama 2023, Malaysia akan menyaksikan 1,084 PEDi beroperasi di seluruh negara yang boleh diakses oleh 23.8 juta rakyat Malaysia.

Setiap PEDi dilengkapi dengan akses kepada perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital dan kakitangan terlatih untuk menyediakan perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh masyarakat setempat. PEDi juga mempunyai akses kepada pelbagai program latihan dan pemerkasaan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan lain dan sektor swasta.

Sejak pertengahan 2021, lima (5)  inisiatif transformasi telah dilaksanakan di PEDi untuk mengukuhkan peranannya iaitu:-

i. Pusat Internet Komuniti telah ditukar dan dinamakan semula sebagai PEDi;

ii. Penubuhan Panel Penasihat yang terdiri daripada masyarakat setempat di setiap PEDi untuk menasihati, merancang pelbagai program dan menarik masyarakat setempat untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat;

iii. Setiap PEDi akan mempunyai Ikon Usahawan PEDi daripada kalangan usahawan tempatan yang berjaya yang akan membantu dan memberi inspirasi kepada usahawan mikro tempatan;

iv. Sebanyak 600 Rakan Digital PEDi akan dilantik dalam 600 PEDi terpilih untuk membantu menyediakan maklumat sokongan kewangan, melatih dan membangunkan usahawan mikro PEDi; dan

v. Pelaksanaan PUPUK melalui usaha bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk membantu pembangunan usahawan mikro tempatan di PEDi dalam mencapai pasaran yang lebih besar.

Kesimpulannya, usaha mendigitalkan masyarakat dan usahawan adalah usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan melalui pelbagai agensi kerana tanpa teknologi maklumat rakyat dan negara akan jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain.

Kongsi artikel ini
Follow