Pusat Media

Operasi Pos Malaysia di Sabah dipertingkat bagi mengukuhkan kegiatan ekonomi digital

18 Ogo 2020, Berita Harian

KOTA KINABALU: Operasi pos di Sabah dipertingkatkan bagi menyokong aktiviti e-dagang yang kini semakin meluas di negeri ini yang mana jumlah bungkusan Pos Laju tahun ini meningkat mendadak berbanding tahun lalu.

Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah bungkusan Pos Laju meningkat sebanyak 41 peratus kepada 4.86 juta unit berbanding tempoh sama tahun lalu dan ini adalah isyarat rakyat Sabah semakin aktif dalam arena e-dagang.

"Aktiviti e-dagang dapat meningkatkan sektor ekonomi Sabah terutama apabila penjualan barangan Sabah dapat ditingkatkan dan untuk itu, ini memerlukan prasarana sokongan mampan termasuk perkhidmatan pos dan kurier yang cekap," kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, sebuah pusat Pos Laju ditubuhkan di Lok Kawi, Papar yang mampu mengendalikan 60,000 bungkusan sehari. Ia adalah lonjakan daripada keupayaan 4,000 bungkusan sehari sekali gus memberi peluang pekerjaan baharu kepada penghantar sambilan yang kini mencecah seramai 204 orang.

"Operasi pusat Pos Laju Lok Kawi menjadikan khidmat penghantaran lebih cepat dan sistematik di kawasan liputannya serta mengatasi kelewatan penghantaran yang terjadi akibat peningkatan aktiviti e-dagang semasa pandemik COVID-19," katanya.

SKMM memberi fokus dan sokongan penuh dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pos dan kurier khususnya di Sabah serta Sarawak bagi memenuhi keperluan pengguna.

Setakat ini ada 44 pejabat Pos, Pos Mini (6), Pusat Pos Laju (8), Kiosk Pos Laju (1), Pusat Pemprosesan Mel (4) dan Pos Bergerak (9) di seluruh Sabah.

Kongsi artikel ini
Follow