Pusat Media

Permudahkan urusan pembangunan infrastruktur telekomunikasi

05 Jun 2021, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) meminta kerajaan negeri bertindak segera bagi memudahkan inisiatif pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri masing-masing.

Tindakan ini sekali gus meningkatkan peluang menarik pelaburan selain menjana keupayaan rakyat supaya dapat membabitkan diri secara aktif dalam transformasi era digital yang sedang pesat berkembang.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, gesaan itu disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media dalam talian selepas menghadiri mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya, Kabinet memperakui perkhidmatan komunikasi kini menjadi sebagai keperluan asas selepas bekalan air dan elektrik.

"Sehubungan itu, Saifuddin meminta kerajaan negeri untuk melakukan anjakan dasar dan peraturan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat disampaikan kepada seluruh rakyat dengan segera," katanya.

Permintaan terhadap perkhidmatan komunikasi melonjak dengan ketara ketika masyarakat menghadapi normal baharu yang memaksa banyak urusan pekerjaan, pendidikan, jual beli dan interaksi dilakukan secara dalam talian.

Keperluan semakin mendesak berikutan trend global semasa yang semakin mengunjur ke arah kemajuan berlandaskan teknologi 5G, Revolusi Industri Keempat (4IR) dan Ekonomi Digital.

"Malah Malaysia sendiri melakukan persiapan ke arah digitalisasi melalui Pelan Tindakan MyDigital yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021.

"Antara fokus utama MyDigital ialah pembinaan infrastruktur digital yang mampan di bawah beberapa inisiatif termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk membangunkan rangkaian 5G, merangsang perkhidmatan awan dan pusat data berskala hiper dan menambah kapasiti sambungan gentian optik antarabangsa," katanya.

Katanya, semua usaha itu berisiko terbantut jika kerajaan negeri gagal melaksanakan perubahan dasar yang bersesuaian dan mengurangkan kos untuk membina infrastruktur itu dengan pantas.

"Peranan infrastruktur telekomunikasi sebagai keperluan asas sudah dizahirkan dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2011)," katanya.

Bagi mengukuhkan pelaksanaan aspek itu pula katanya, SKMM baru-baru ini memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) untuk mewujudkan peraturan seragam yang boleh dijadikan amalan piawaian oleh semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ia sudah diperakui dan diterima di Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-77 pada 2 Mac lalu.

"SKMM menerusi pejabat cawangan di setiap negeri akan mengadakan rundingan terus dan membantu kerajaan negeri untuk menerapkan GPP-I dan mengkaji semula aspek peraturan dan fi yang dikenakan bagi memastikan semua inisiatif membina infrastruktur komunikasi yang mampan tidak tergendala," katanya.

Kongsi artikel ini
Follow